PUTRAJAYA – Malaysia menyasarkan untuk berada dalam kalangan 20 negara utama ekosistem syarikat pemula global menjelang tahun 2030 serta membangunkan Kuala Lumpur sebagai hab digital serantau.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat Negara (MED4IRN) bersetuju dengan pelaksanaan inisiatif bagi memperkukuh ekosistem syarikat pemula serta meningkatkan keterlibatan dan prestasi syarikat pemula tempatan.
Katanya, sehingga kini, terdapat sekurang-kurangnya 14 agensi yang terlibat dalam ekosistem syarikat pemula merangkumi aspek pembiayaan, pembangunan produk, pemasaran dan kepakaran.
“Sehubungan itu, kerajaan akan melaksanakan inisiatif ‘single window’ untuk menyelaras dan menyusun semula fungsi, terutamanya berkaitan kerjasama merentasi agensi dan penggiat dalam ekosistem syarikat pemula sebagai panduan dalam penggubalan dasar dan membuat keputusan.
“Inisiatif ini menetapkan sasaran mewujudkan 5,000 syarikat pemula menjelang tahun 2025,” katanya dalam kenyataan selepas mempengerusikan MED4IRN, di sini hari ini.
Mesyuarat itu dianggotai barisan Menteri selaku Pengerusi Kluster dan inisiatif ekonomi digital serta ahli lantikan yang terdiri dari wakil sektor swasta, industri, akademia, kumpulan pemikir dan pertubuhan masyarakat sivil yang telah dipilih melalui permohonan terbuka.
Majlis MED4IRN berperanan untuk mempercepatkan pelaksanaan inisiatif terkait agenda transformasi digital negara.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, mesyuarat itu turut bersetuju untuk mempercepatkan pelaksanaan Projek Pembangunan Identiti Digital Nasional (IDN) di bawah Jabatan Pendaftaran Negara.
Jelasnya, IDN adalah suatu bentuk pengenalan dan pengesahan diri secara digital dengan merujuk kepada sumber tunggal yang sahih berdasarkan ciri-ciri biometrik individu.
“IDN apabila siap kelak akan bertindak sebagai platform pengenalan diri digital yang boleh diyakini untuk pengesahan maklumat individu semasa mendapatkan perkhidmatan daripada penyedia perkhidmatan.
“Ia akan memastikan transaksi dalam talian adalah dalam persekitaran digital yang fleksibel dan selamat,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE