PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan di sini hari ini menolak permohonan seorang wanita untuk mendapatkan kebenaran bagi mencabar keputusan Mahkamah Syariah yang tidak membenarkannya keluar daripada agama Islam.
Keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga hakim yang diketuai Datuk Azizah Nawawi memutuskan demikian selepas mendapati tiada kekhilafan yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur ketika menolak permohonan semakan kehakiman wanita itu.
“Mahkamah Tinggi Syariah kompeten untuk mendengar perkara itu. Kami (panel-panel) bersetuju bahawa hakim Mahkamah Tinggi di mahkamah sivil tidak mempunyai bidang kuasa untuk menyemak keputusan Mahkamah Syariah.
“Mahkamah sivil dan Syariah adalah dua sistem perundangan yang berasingan dan Mahkamah Syariah bukanlah tribunal rendah yang tertakluk kepada semakan kehakiman. Kesimpulannya, rayuan ditolak, keputusan hakim Mahkamah Tinggi Sivil disahkan,” katanya ketika menyampaikan keputusan itu secara dalam talian.
Semasa prosiding, peguam Fahri Azzat mewakili wanita itu manakala Peguam Kanan Persekutuan, Ahmad Hanir Hambaly dan Peguam Persekutuan, Mohammad Sallehuddin Md Ali mewakili empat responden.
Dua lagi hakim yang turut bersidang ialah Datuk See Mee Chun dan Datuk Azizul Azmi Adnan.
Pada 15 Jun lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan wanita berusia 33 tahun itu untuk mendapatkan kebenaran mencabar keputusan Mahkamah Syariah Kuala Lumpur yang mengekalkan status Islamnya.
Wanita tersebut dilahirkan dalam keluarga Islam memohon untuk keluar agama atas alasan tidak pernah mengamalkan ajaran Islam dan ingin mengamalkan ajaran Buddha.
Pada tarikh itu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan bahawa mahkamah sivil tiada bidang kuasa untuk menyemak keputusan mahkamah syariah dalam kes membabitkan permohonan murtad.
Hakim Ahmad Kamal Md Shahid berkata, Perlembagaan Persekutuan memberikan kuasa mengikut Perkara 121(1A) kepada mahkamah syariah untuk menentukan kes membabitkan permohonan untuk keluar daripada Islam.
Wanita itu memohon sekurang-kurangnya 12 perintah mahkamah termasuk deklarasi bahawa beliau bukan lagi seorang Islam serta berhak menganut dan mengamalkan agamanya, iaitu Konfusianisme serta Buddhisme.
Beliau turut memohon deklarasi Mahkamah Tinggi sivil bahawa keputusan Mahkamah Tinggi Syariah dan Mahkamah Rayuan Syariah yang menolak permohonannya untuk diisytihar sebagai murtad adalah tidak sah, menyalahi undang-undang serta batal. – KOSMO! ONLINE