fbpx

Komunis susah ditangkap sebab mahir hutan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MOHD. NOR (kanan) dan Zulkifli menceritakan pengalaman mereka ketika bertugas sebagai komando semasa menentang komunis ketika ditemui di Kampung Bukit Cina, Kok Lanas, Kota Bharu semalam.

KOTA BHARU – Kejayaan menangkap anggota komunis yang sedang memasang jerangkap samar menjadi detik paling bermakna buat seorang komando dalam pertempuran di kawasan hutan simpan di Gerik, Perak, pertengahan tahun 1970.

Biarpun telah lebih 50 tahun berlalu, detik bersejarah itu tetap segar diingatan Mohd. Nor Latif, 74, yang ketika itu menyertai Pasukan Gerak Khas.

Mohd. Nor berkata, dalam pertempuran tersebut, ramai anggota komando daripada platun lain mengalami kecede­raan, malah ada yang memasuki jerangkap samar yang dipasang komunis.

“Sebelum pertempuran di hutan itu, platun saya menangkap seorang anggota komunis yang mahu memasang jerangkap samar. Itu merupakan satu pe­ngalaman yang saya tidak dapat lupakan sampai hari ini.

“Sukar untuk anggota ­komando bertemu atau bertentangan mata dengan komunis kerana mereka sangat licik terutamanya semasa berada di dalam hutan,” katanya ketika ditemui Kosmo! di rumahnya di Kampung Bukit Cina, Kok Lanas di sini baru-baru ini.

Mohd. Nor memberitahu, ­situasi bertentangan mata dengan anggota komunis merupakan pengalaman yang segar dalam ingatan kerana kumpulan tersebut terkenal dengan sifat keras kepala selain berkebolehan menyusup secara perlahan-lahan di dalam hutan.

“Alhamdulillah, sejak direkrut sebagai komando bermula tahun 1968, saya tidak pernah mengalami sebarang kecederaan meskipun terlibat dalam pelbagai operasi termasuk di Sarawak dan Indonesia.

“Pengalaman bertempur ­dengan komunis di Gerik merupakan antara sejarah dalam hidup saya yang tidak dapat dilupakan. Meskipun, sukar untuk menyerang komunis, penangkapan salah seorang anggota pasukan tersebut merupakan antara kejayaan besar platun saya,” katanya.

Menurutnya, beliau bersara sebagai Pegawai Waran 2 di Kem Sungai Udang, Melaka, malah pernah dianugerahkan beret merah dan hijau apabila menyertai Ops Zubir selain Ops Sawadi.

Seorang lagi bekas komando, Zulkifli Ibrahim, 55, berkata, setiap kali tiba bulan kemerdekaan, dia tidak pernah lupa dengan semangat perjua­ngan terutamanya semasa bertempur dengan komunis pada tahun 1980-an.

Menurutnya, dia yang bersara 11 tahun lalu tetap tidak akan lupa dengan perjuangan rakan-rakannya yang meninggal dunia semasa operasi di hutan.

“Perjuangan saya tidak pernah luntur meskipun sudah lama bersara. Bulan kemerdekaan merupakan satu penghargaan buat semua pejuang negara sejak daripada zaman pemerintahan British sehingga ke penentangan komunis,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI