ISKANDAR PUTERI – Keputusan kerajaan menjadikan Forest City sebagai Zon Khas Kewangan akan memacu pertumbuhan ekonomi setempat khususnya dalam sektor-sektor terlibat seperti penjagaan kesihatan, pendidikan dan pelancongan.
Naib Presiden Forest City, Ir. Syarul Izam Sarifudin berkata, hal itu kerana pelaksanaan insentif tambahan termasuk kadar cukai pendapatan khas sebanyak 15 peratus akan menarik kemasukan pekerja mahir dan visa masuk pelbagai.
Sehubungan itu katanya, Forest City menyambut baik inisiatif yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika melawat Johor, baru-baru ini.
“Pengumuman itu membuktikan keyakinan kerajaan terhadap projek Forest City di samping dapat bersama memainkan peranan untuk merancakkan lagi ekonomi negeri dan negara.
“Forest City kini dalam fasa dua pelaksanaan mengikut pelan tindakan pembangunan. Fokus kami di peringkat ini adalah untuk meneroka lebih banyak peluang pelaburan. Pengumuman Perdana Menteri diyakini memberi manfaat kepada ekonomi Johor dan wilayah secara keseluruhannya.
“Kami juga sudah bersedia ni untuk memberikan kerjasama yang berpanjangan bagi merealisasikan matlamat yang telah dirancang,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Tambah Syarul Izam, syarikat mempunyai aset bersih dan rizab tanah yang mencukupi dan akan menggunakan sepenuhnya dasar yang berkaitan untuk menyelaras semua sumber secara aktif, memastikan operasi kerja dijalankan mengikut jadual, mempergiatkan promosi, mengukuh pengurusan dalaman dan meningkatkan kecekapan operasi.
“Pada masa sama, pelbagai langkah pengurusan hutang akan diambil untuk memastikan pembangunan masa depan syarikat.
“Dengan corak pemulihan landskap ekonomi global dan Malaysia selepas wabak, pembangunan berterusan dan stabil hubungan China-Malaysia, syarikat yakin untuk terus meneroka dalam pasaran di Malaysia,” jelasnya lanjut.-KOSMO! ONLINE