JAKARTA – Jabatan Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG) Indonesia memaklumkan dua glasier tropika di negara itu sedang mencair dan dikhuatiri lenyap sepenuhnya pada 2026 atau lebih pantas, ekoran fenomena El Nino yang berpanjangan.
Laman berita Wion News melaporkan, musim kemarau di Indonesia yang dijangka berlarutan hingga Oktober depan berisiko melenyapkan glasier tersebut.
Menurut BMKG, El Nino dijangka meningkatkan risiko kebakaran hutan dan mengancam bekalan air bersih di Indonesia yang memiliki satu pertiga daripada hutan hujan dunia.
Katanya, fenomena cuaca itu mungkin menjadikan kemarau tahun ini paling teruk sejak 2019.
Salah seorang penyelidik agensi itu, Donaldi Permana berkata, musim kemarau kali ini menimbulkan ancaman kepada glasier tropika di Indonesia yang berusia 12,000 tahun.
“Glasier mungkin hilang sebelum 2026 atau lebih cepat manakala El Nino berisiko mempercepatkan proses mencair,” kata Donaldi yang merujuk kepada glasier digelar ‘Glasier Keabadian’ itu.
Dua glasier tropika yang kurang dikenali dan antara yang masih tinggal di dunia itu terletak di pergunungan Puncak Jaya dalam wilayah Papua. Glasier Carstensz Pyramid berketinggian 4,884 meter manakala East Northwall Firn setinggi 4,700 meter.
Menurut Donaldi, dua glasier itu telah menipis dengan ketara sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Ia menyusut daripada 32 meter pada 2010 kepada 8 meter pada 2021.
Jumlah keluasannya berkurang kepada 0.23 kilometer persegi menjelang 2022 daripada 2.4 kilometer persegi pada 2000. – Agensi