GEORGE TOWN – Pihak yang menentang cadangan Kementerian Pendidikan (KPM) untuk memperkenal pelaksanaan Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi perlu mendapatkan maklumat yang jelas terlebih dahulu tentang kandungan hadis-hadis di dalam koleksi tersebut.
Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor berkata, ini kerana tujuan KPM memperkenalkan modul itu adalah untuk memupuk semangat ihsan (kebajikan) dan kasih sayang antara sesama manusia tanpa mengira latar belakang keturunan, agama dan budaya.
“Pihak-pihak yang membantah cadangan tersebut perlulah memberi perhatian kepada penjelasan yang diberikan oleh KPM dan beberapa pertubuhan Islam bukan kerajaan (NGO) mengenai modul tersebut.
“Ini kerana, modul berkenaan hanya disasarkan kepada para guru dan pelajar yang beragama Islam di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) dan Sekolah Bantuan Kerajaan (SABK) sahaja,” katanya di sini, hari ini.
Menurut Wan Salim, tujuan memperkenalkan modul itu juga diharap boleh memupuk kefahaman yang betul tentang agama Islam sebagai agama rahmat dan menganjurkan sikap toleransi dan saling menghormati antara satu sama lain biarpun berbeza pegangan agama dan kebudayaan.
“Rakyat Malaysia bukan beragama Islam hendaklah faham bahawa pandangan ekstrem dan yang memusuhi orang bukan Islam adalah berpunca daripada kefahaman yang salah terhadap ajaran-ajaran Islam itu sendiri.
“Kumpulan-kumpulan seperti Da’esh yang memperjuangkan penubuhan Negara Islam di Iraq dan Syria-Lebanon yang dengan sewenang-wenang membunuh sesiapa sahaja yang tidak sehaluan dengan mereka, adalah disebabkan kefahaman mereka yang salah terhadap ajaran Islam yang sebenar,’” katanya.
Tambahnya, dengan memperkenalkan Modul Hadis 40 karya Imam Nawawi ini diharap mampu melahirkan generasi umat Islam yang lebih terbuka kepada kepelbagaian kaum, agama dan budaya dalam kalangan warga Malaysia.
Selain itu, katanya, tindakan memprotes cadangan KPM itu tanpa usul periksa adalah tidak wajar sama sekali selain didorong dengan niat untuk meraih kepentingan politik murahan dengan meminggirkan kepentingan negara dan rakyat. -KOSMO! ONLINE