KUALA SELANGOR – Gara-gara isterinya meminta cerai, seorang lelaki yang ‘hilang semangat’ cuba menamatkan riwayat hidupnya pada ketinggian 12 meter di Tasik Puncak Bestari, hari ini.
Lelaki yang berusia dalam lingkungan 50-an itu turut berada di papan tanda dalam keadaan meracau serta berteriak kepada anggota bomba yang cuba menyelamatkannya.
Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, lima pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bestari Jaya bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan pada pukul 8.35 pagi.
Sebaik tiba di lokasi kejadian, didapati lelaki berkenaan turut mengugut untuk terjun pada ketinggian 12 meter.
“Siasatan awal mendapati punca lelaki tersebut bertindak sedemikian ekoran isterinya meminta cerai. Sepanjang berada di situ, lelaki tersebut meracau sendirian,” katanya ketika dihubungi.
Menurut beliau, pihaknya mengambil masa kira-kira dua jam untuk memujuk lelaki tersebut. L
elaki itu berjaya ditenangkan sebelum dibawa turun oleh anggota bomba dalam keadaan selamat.
“Proses pujukan juga dibantu isteri lelaki dan rakan-rakannya,” jelasnya.
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929. -KOSMO! ONLINE