PUTRAJAYA – Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) mahu perbincangan bersama Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) diadakan pada kadar segera bagi meneliti aspek perlindungan keselamatan sosial membabitkan para pekerja di dalam industri seni dan kreatif.
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, langkah itu bertujuan untuk menjaga kebajikan pekerja di dalam industri berkenaan yang bergantung pendapatan berdasarkan projek.
“Saya menyentuh tentang keperluan Finas (Perbadanan Kemajuan Filem Nasional) dan Kumpulan MyCreative Ventures untuk mengadakan perbincangan dengan Perkeso bagi meneliti aspek keselamatan sosial para pekerja dalam industri seni dan kreatif. Ini kerana kita lihat rakan-rakan dalam bidang perfileman atau pun kru bagi industri muzik, mereka ‘go project by project basis’.
“Kebiasaannya ada aspek-aspek keselamatan sosial yang perlu diberi perhatian termasuk isu pencen ilat dan khairat kematian. Jadi saya harap perbincangan itu dapat diadakan pada kadar segera,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Surat Tawaran Dana Kandungan Digital (DKD) dan Pelancaran Tabung Komuniti Filem di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata, selain pekerja industri seni dan kreatif, beliau mahu para wartawan yang berada di lapangan turut mempunyai perlindungan keselamatan sosial.
“Saya telah beberapa kali sebut sebelum ini tentang keperluan untuk menjaga kebajikan, bukan hanya mereka yang terlibat dalam industri kreatif malah juga di kalangan wartawan berstatus ‘stringer’, mereka sering kali hadapi isu dalam keselamatan sosial,” ujarnya.
Selain itu, beliau turut menyuarakan hasrat supaya perlindungan keselamatan sosial khususnya untuk penggiat industri seni dan kreatif dapat diperkenalkan dengan pakej yang lebih berpatutan.
“Insya-Allah mungkin pakej yang lebih Rahmah kerana kita tahu ada melibatkan sedikit kos tetapi saya difahamkan jumlahnya tidak terlalu besar tetapi manfaatnya lebih banyak, jadi ini yang kita sedang bincangkan,” katanya. – KOSMO! ONLINE