fbpx

Anis Adiba aktif kongsi fakta sejarah, kisah hidup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ANIS ADIBA ketika ini berada di Jepun bagi program pertukaran pelajar.

SEJAK berusia 13 tahun, Anis Adiba Azizuddin telah mempunyai minat untuk menghasilkan ‘konten’ di platform YouTube.

Anak kelahiran Pulau Pinang itu berkata, sejak kecil dia telah diajar oleh ayahnya untuk bercakap di hadapan kamera.

“Oleh sebab itu, saya tidak berasa kekok untuk menghasilkan kandungan sendiri.

“Proses menghasilkan video termasuk merancang, merekod dan menyunting. Ia merupakan sesuatu yang saya minat.

“Ini telah mendorong saya untuk mendapat pendidikan formal supaya boleh dijadikan kerjaya profesional,” katanya.

Bagi mengejar impian tersebut, Anis Adiba telah mengambil keputusan untuk melanjutkan pengajian dalam jurusan pengajian media di Universiti Malaya (UM).

Gadis yang kini berusia 21 tahun itu menjelaskan, meskipun sibuk bergelar seorang mahasiswa, namun dia masih meneruskan minatnya itu.

Ujarnya, dia aktif menghasilkan ‘konten’ berkaitan sejarah di platform TikTok dan tentang kehidupan sebagai seorang pelajar di YouTube.

Malah, Anis Adiba gembira kerana bilangan pengikutnya di kedua-dua platform tersebut sangat ramai dan dia amat menghargai sokongan diberikan.

ANIS ADIBA merupakan penuntut Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Media di UM.

Berbicara tentang penghasilan kandungan berkaitan sejarah yang dihasilkannya, Anis Adiba menjelaskan, dia mula menghasilkan kandungan itu ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 2020 sewaktu dunia berhadapan serangan Covid-19.

“Ketika itu, saya berasa bosan dengan rutin harian dan memerlukan sesuatu yang kreatif untuk dilakukan sebagai hobi.

“Saya memilih sejarah kerana saya sedar bahawa ia merupakan subjek yang amat menarik.

“Saya yakin mempunyai gaya penceritaan yang menarik dan bakat untuk memastikan kandungan tersebut interaktif serta menarik,” jelasnya anak sulung daripada empat beradik itu.

Tambahnya, melalui kandungan tersebut, dia dapat membantu para pelajar untuk mempelajari subjek Sejarah dengan cara lebih berkesan.

Mengulas hal berkaitan sejarah, dia berkata, seseorang itu mesti mempunyai pengetahuan luas agar fakta disampaikan itu tepat.

Anis Adiba berkata, dia banyak mengulas hal sejarah berdasarkan apa yang dipelajarinya ketika mengambil Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM).

“Sebagai pelajar jurusan sains sosial ketika STPM, silibus sejarah saya jauh lebih luas dan mendalam berbanding apa dipelajari ketika Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Saya mengulas berdasarkan buku-buku rujukan serta naskhah ditulis sendiri oleh tokoh-tokoh sejarah.

“Ada juga saya ulas memoir yang dicadangkan oleh guru Sejarah saya sendiri iaitu Puan Ainon,” terangnya.

Meskipun memilih untuk menghasilkan kandungan berkaitan sejarah, Anis Adiba mendapat maklum balas positif daripada orang ramai.

“Kebanyakan orang menyokong saya kerana menggunakan platform hiburan untuk berkongsi ilmu.

“Saya bersyukur kerana kebanyakan komen positif yang saya terima,” katanya.

Mengulas lanjut tentang dirinya, Anis Adiba berkata, dia kini berada di Tokyo Metropolitan Universiti di Tokyo, Jepun bagi mengikuti program pertukaran pelajar.

Dia berada di Negara Matahari Terbit itu selama dua minggu untuk mempelajari cara hidup masyarakat tempatan serta melakukan perbincangan ilmiah mengenai masalah dihadapi oleh Jepun.

Ketika di sana, dia mendapati bahawa mahasiswa Jepun dan Malaysia tidak jauh berbeza.

Namun begitu, kebanyakan mahasiswa Jepun menghadapi kesukaran bertutur dalam bahasa Inggeris meskipun belajar di universiti terkemuka.

“Hal ini kerana pendidikan bahasa Inggeris mereka bermula pada usia 12 tahun dan hanya menekankan aspek pembacaan dan penulisan.

“Tambahan pula, perbualan harian mereka hanya menggunakan bahasa ibunda,” terangnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI