JACKSON, MISSISSIPPI – Sekumpulan pemburu menangkap seekor aligator raksasa di Mississippi sekali gus mencatat rekod baharu dari segi saiz dan berat tangkapan di negeri tersebut, lapor akhbar Daily Mirror semalam.
Menurut Jabatan Hidupan Liar, Perikanan dan Taman Mississippi, ukuran rasmi panjang aligator itu ialah 4.3 meter dengan ukur lilit perutnya 167.6 sentimeter.
Berat repitilia yang ditangkap di Sungai Yazoo Sabtu lalu itu mencecah 364 kilogram.
Rekod aligator terpanjang di Mississippi dicatatkan pada 2017 sepanjang 4.26 meter dan berat kurang 347.6 kilogram.
“Kami mengikat aligator itu sebanyak lapan hingga sembilan kali, namun ia asyik terputus. Ia juga bergerak-gerak dan bersembunyi di bawah kayu balak,” kata seorang pemburu tersebut, Don Woods sambil menambah, mereka mengambil masa tujuh jam untuk menaikkan reptilia tersebut.
Orang ramai dibenarkan memburu aligator pada waktu tertentu di Mississippi dalam usaha pihak berkuasa menurunkan bilangan haiwan pemangsa di negeri berkenaan terutamanya berdekatan kawasan kediaman penduduk.
Musim memburu aligator di negeri itu bermula pada 25 Ogos hingga 4 September ini. – AGENSI