fbpx

Akademi Salihin sasar latih 60 pelajar menjelang 2024

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Fadillah berucap merasmikan perasmian Pusat Korporat Salihin di Menara Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) di sini, hari ini. -Foto oleh FARIZ RUSADIO/KOSMO!

KUALA LUMPUR – Seramai 60 orang penuntut setiap tahun bakal menyertai program pensijilan profesional bermula tahun 2024 di bawah kelolaan Akademi Salihin.

Ia merangkumi bidang kelulusan dibawah Accounting and Auditing Organisation For Islamic Financial Institutions (AAOIFI), General Council for Islamic Banks and Financial Institutions (CIBAFI ) serta The International Islamic Centre for Reconciliation and Arbitration (IICRA).

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, sejak penubuhan Salihin pada awal tahun 2002, firma perunding korporat tempatan itu berjaya menjana perolehan sebanyak RM25 juta setahun dengan tenaga kerja 250 orang professional bertauliah dan pakar dalam pelbagai disiplin.

“Kumpulan Salihin bukan sahaja mengukir nama Kuala Lumpur. Ia juga mempunyai cawangan di Kuching, Johor Bahru dan Gombak. Malah, Salihin juga telah membuka cawangan di Nairobi, Kenya sebagai langkah permulaan melebarkan sayap di peringkat antarabangsa.

“Dalam keadaan ekonomi global yang mencabar pada masa kini, kita boleh berbangga apabila ada firma swasta bumiputera yang berdaya tahan, kalis kegawatan serta bersifat inovatif lagi kreatif dalam memburu peluang-peluang perniagaan,” katanya ketika ditemui di Majlis Perasmian Pusat Korporat Salihin di Menara Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), di sini, hari ini.

Tambahnya, beliau amat mengalu-alukan langkah firma tersebut untuk mewujudkan Akademi Salihin sebagai pelengkap kepada perkhidmatan profesional yang bakal memberi penyelesaian pendidikan dan latihan bagi pembangunan profesional dalam bidang kewangan dan perbankan Islam, pengurusan perniagaan, automasi digital, analitik serta penyelesaian perakaunan.

“Ini adalah perancangan permulaan yang amat baik dan saya percaya jika dilaksanakan dengan teliti ia boleh membuka ruang untuk kejayaan yang lebih besar, mungkin dengan jalinan kerjasama dengan universiti-universiti dan pusat-pusat pengajian tinggi tempatan.

“Ia akan membuka peluang baharu pertumbuhan serta inovasi, sekaligus meletakkan Salihin sebagai firma kewangan yang membawa permodenan dan perubahan paradigma di dalam bidang perakaunan, pengauditan dan perundingan korporat melalui pendigitalan dan automasi robotik,” katanya.

Tambahnya, beliau ingin melihat Salihin terus berdiri teguh mendepani era-era mendatang dan menjadi contoh motivasi kepada usahawan muda tempatan bahawa sesuatu kejayaan boleh dicapai jika kita menetapkan keazaman yang tinggi dan tidak mudah menyerah kalah.

“Dedikasi teguh firma Salihin untuk menegakkan integriti, ketelusan dan profesionalisme dalam penyampaian perkhidmatannya selama dua puluh satu tahun ini adalah resipi kejayaan yang membina keyakinan para pelanggan dan rakan-rakan berkepentingan termasuk pihak berkuasa undang-undang, agensi pelaksana serta pesaing industri.

“Saya meletakkan harapan tinggi agar firma Salihin tidak sekadar berpuas hati dengan kejayaan setakat ini sahaja tetapi terus meneroka peluang-peluang yang lebih besar dan melatih anak bangsa untuk lebih berdaya saing dan berpeluang lebih cerah bagi mendapatkan pekerjaan berpendapatan tinggi,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI