fbpx

Aaron-Wooi Yik rebah di Copenhagen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AARON-WOOI YIK tumbang kepada Min-hyuk-Seung-jae pada separuh akhir Kejohanan Badminton Dunia 2023 di Copenhagen, Denmark semalam. – AFP

MUDAH memberi mata kepada lawan menjadi faktor utama ­Aaron Chia-Soh Wooi Yik gagal mempertahankan gelaran juara dunia apabila tumbang pada separuh akhir Kejohanan Badminton Dunia 2023 di Copenhagen, Denmark.

Aaron-Wooi Yik tewas straight-set 21-23, 13-21 kepada pilihan kesembilan kejohanan dari Korea Selatan, Kang Min-hyuk-Seo Seung-jae dalam tempoh 42 minit di Royal Arena awal pagi semalam.

Bagi Aaron, pemain berusia 26 tahun dari Melaka itu merasakan kegagalan mereka memenangi set pertama selepas memegang kelebihan 19-16 turut menjadi punca kepada kekalahan tersebut.

“Set pertama memang penting sebab kita dah dahului 19-16, namun kita bagi mata yang terlalu senang dan pihak lawan jadi lebih yakin, itu membuatkan kita kalah hari ini (awal pagi semalam).

“Kami sudah buat yang terbaik tetapi tak jangka keputusan ini berlaku. Ini rezeki kami, terima kasih kerana sentiasa menyokong dan kami akan teruskan perjuangan,” katanya.

Kekalahan itu bermakna ­Aaron-Wooi Yik membawa pulang pingat gangsa bersama beregu No. 3 dunia dari China, Liang Weikeng-Wang Chang yang tewas dalam satu lagi aksi separuh ­akhir awal pagi semalam.

Sementara itu, Wooi Yik, 25, sukar untuk menerima kekalahan tersebut kerana merasakan mereka gagal memanfaatkan beberapa peluang meraih mata penting.

“Rasa berat sebab kami terlepas peluang ke final. Ada beberapa mata yang kami tak dapat lakukan dengan mudah selain mereka (beregu Korea Selatan) juga tak mudah mati sendiri.

“Mereka sangat stabil dan jarang membuat kesilapan dengan senang, jadi ini yang harus kami belajar. Kami akan teruskan perjuangan dan berharap anda semua sentiasa menyokong kami,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI