KOTA TINGGI – Tiga wanita warga Singapura maut selepas kenderaan plebagai guna (MPV) jenis Honda Freed yang mereka naiki bertembung sebuah lori dalam kemalangan di Ladang Cenas, Bandar Tenggara, di sini hari ini.
Dalam kejadian pada pukul 1.52 tengah hari itu, mangsa yang maut dikenali sebagai Toh Poh Kian,56, Soon Moh Tan, dan Wong Lan Yew masing-masing berusia 61 tahun.
Manakala pemandunya, Ong Cheow Lam, 59, terselamat dan hanya mengalami cedera ringan.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Tenggara, Pegawai Bomba Kanan II Mohd Norul Fazudin Shafie, berkata, kemalangan itu membabitkan kereta Honda Freed dengan sebuah lori jenis Roll On Roll Off (RORO).
Menurutnya, seramai enam anggota dengan dibantu sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dikejarkan ke tempat kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan.
“Tiga penumpang kereta berkenaan iaitu seorang wanita berusia 56 tahun dan dua wanita warga emas masing-masing berusia 61 tahun.
“Semua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian selepas disahkan pegawai perubatan manakala pemandu kereta iaitu seorang lelaki berusia 59 tahun dan pemandu lori RORO berusia 49 tahun terselamat,” katanya dalam kenyataan di sini. – KOSMO! ONLINE