KLANG – Polis menyiasat kejadian tular melibatkan dua pemandu kereta yang bertengkar selepas terlibat kemalangan di Jalan Pelabuhan Barat di sini, Rabu lalu.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, pihaknya semalam menerima maklumat kejadian itu menerusi satu video di laman Twitter memaparkan pergaduhan antara dua lelaki tempatan.
Katanya, semakan mendapati kemalangan itu melibatkan Proton Saga dan Proton Gen 2 itu berlaku kira-kira pukul 2.20 petang.
“Kejadian berlaku ketika kedua-dua pemandu dalam perjalanan dari arah Pulau Indah menuju ke Klang. Setibanya di lokasi kejadian yang sesak, pemandu Saga berusia 38 tahun yang bergerak lurus dilanggar sebuah Gen 2 dari arah belakang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelas Hoong Fong, kemalangan itu mengakibatkan dua lelaki itu tidak berpuas hati dan bertengkar di lokasi kejadian.
“Pemandu Saga berkenaan meminta ganti rugi kerosakan keretanya. Pada masa sama, dia turut merakam video pertengkaran mulut tersebut. Satu laporan polis dibuat pemandu Saga pada hari kejadian,” ujarnya.
“Polis sudah menghantar notis Panggilan Saksi di bawah Seksyen 111 Kanun Prosedur Jenayah kepada pemilik Gen 2 supaya hadir bagi siasatan lanjut.
“Kes disiasat di mengikut Kaedah 10 LN 166/59 dan saksi kejadian berlaku boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Sarjan Mohamad Amirrul Roseli di talian 017-946 9798 atau balai polis berdekatan,” katanya. -KOSMO! ONLINE