JOHOR BAHRU – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Nur Jazlan Mohamed gesa pengundi khususnya masyarakat Cina di Parlimen Pulai untuk keluar mengundi dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen itu pada 9 September ini.
Menurut beliau, gesaan itu penting kerana kunci kemenangan Pakatan Harapan (PH) di Parlimen itu dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) lalu adalah kerana sokongan pengundi Cina.
“Kerusi ini nampak seperti kerusi mudah buat PH, namun kemenangan Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub adalah berdasarkan undi Cina, tetapi kalau masyarakat Cina tidak datang undi 9 September ini, saya khuatir akan jadikan kerusi ini tergugat.
“Oleh itu, saya mohon kaum Cina di Parlimen ini agar jangan ambil ringan perkara itu sebaliknya keluar mengundi, perkara ini penting,” katanya ketika berucap di Majlis Pelancaran Bilik Gerakan P161 Pulai di Taman Perling, di sini malam tadi.
Tambah beliau, pihaknya bimbang sekiranya kerajaan perpaduan hari ini tidak stabil ia mampu menyebabkan keadaan kucar-kacir dalam negara akibat rakyat terpengaruh dengan fahaman ekstremis dibawakan pembangkang.
“Saya pernah jadi Timbalan Menteri Dalam Negeri, jadi saya arif dan ambil berat isu keselamatan sebab tidak mahu keadaan kucar-kacir berlaku, oleh itu percayalah UMNO akan bantu calon PH pada 9 September ini. Itu janji kita, akan tetapi penyokong PH perlu main peranan mereka dan keluar mengundi.
“Saya pilih jalan tengah, iaitu kesederhanaan sebab matlamat jangka masa panjang, kalau kita terjebak ekstremis akan pecahkan belah negara,” jelasnya.
Nur Jazlan yang juga merupakan Ketua UMNO Bahagian Pulai bagaimanapun memberitahu, pihaknya masih berasa kekok dengan kerjasama politik antara PH dan Barisan Nasional (BN) menerusi kerajaan perpaduan, hari ini.
“Saya juga tidak mahu menggunakan perkataan reformasi, sebaliknya kita lakukan kerjasama politik ini adalah untuk melakukan perubahan positif dalam negara, masa untuk reformasi sudah habis sebaliknya ini masa kita ubah haluan negara ke arah lebih positif,” jelasnya.
Sementara itu, Nur Jazlan turut memberitahu akan berusaha keras untuk memujuk ahli dan penyokong BN khususnya UMNO di peringkat akar umbi bagi memberikan sokongan kepada calon kerajaan perpaduan iaitu Suhaizan Kayat dalam PRK Parlimen Pulai ini. – KOSMO! ONLINE