JOHOR BAHRU – Sebanyak tiga permit ceramah dan tiga permit kempen bagi kawasan Pulai dan satu permit ceramah bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram telah diluluskan oleh pihak polis.
Jurucakap Media Pilihan Raya Kecil (PRK) Johor, Superintenden Ibrahim Mat Som berkata, sehingga kini, tiada sebarang kertas siasatan yang dibuka.
“Polis Johor menasihatkan supaya semua parti serta kumpulan penyokong menghormati antara satu sama lain serta tidak melakukan kerosakan terhadap poster, banner, bendera, kain rentang dengan mencabut atau membakar mana-mana parti politik.
“Perbuatan ini merupakan satu perbuatan khianat dan menyalahi undang-undang dan boleh dikenakan tindakan dibawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, sekiranya mempunyai sebarang permasalahan yang timbul, mana-mana pihak boleh merujuk kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya berlandaskan undang-undang yang sedia ada.
“Semua dinasihatkan supaya setiap calon Pilihan Raya yang ingin mengadakan kempen mengikuti peruntukan undang-undang dibawah Seksyen 24b(3) Akta Kesalahan Pilihanraya 1954,” katanya.
Semalam, Proses penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, di sini berjalan lancar tanpa sebarang gangguan.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, keadaan di pusat penamaan calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram juga berlangsung dalam keadaan terkawal.
Beliau berkata, walaupun kehadiran penyokong kedua-dua parti mengiringi calon parti gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) serta Perikatan Nasional (PN) masing-masing melebihi 1,000 penyokong namun tiada provokasi berlaku. – KOSMO! ONLINE