DARWIN, AUSTRALIA – Sebuah pesawat tentera Amerika Syarikat (AS) terhempas di sebuah pulau terpencil di utara Australia ketika mengambil bahagian dalam latihan ketenteraan hari ini, yang mengorbankan tiga anggota, demikian menurut seorang pegawai.
Katanya, pesawat Osprey, ketika itu membawa 23 anggota pertahanan AS.
Perkhidmatan penyelamat Care Flight memberitahu AFP bahawa lima mangsa telah dibawa ke Hospital Diraja Darwin dalam keadaan serius, manakala mangsa lain dirawat di lokasi kejadian.
“Seramai 23 anggota berada dalam pesawat. Tiga disahkan meninggal dunia manakala lima lagi dibawa ke Hospital Diraja Darwin dalam keadaan serius,” kata seorang pegawai Marin AS.
Peta insiden perkhidmatan kecemasan untuk Wilayah Utara berkata telah berlaku nahas pesawat di Pulau Melville, yang terletak kira-kira 60 kilometer di utara tanah besar Australia di timur Laut Timor.
Osprey mengambil bahagian dalam latihan Predators Run, satu siri latihan perang bersama yang melibatkan beribu-ribu askar dari AS, Australia dan tentera lain seperti Indonesia dan Filipina. – AFP