SERDANG – Kanak-kanak lelaki lima tahun maut disyaki didera ibu dan teman lelakinya dipercayai meninggal dunia selepas mengalami pendarahan otak dan cedera di seluruh tubuh badan serta tapak kaki.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A.A Anbalagan berkata, pihaknya sudah mengambil keterangan kira-kira tujuh individu bagi membantu siasatan.
Menurutnya, mangsa mula didera dengan serius sekitar bulan Jun lalu oleh ibu dan teman lelaki ibunya itu.
“Kecederaan yang dikesan pada mangsa adalah luka di seluruh tubuh badan, tapak kaki, dan pendarahan otak.
“Siasatan masih dijalankan dan akan dirujuk ke Timbalan Pendakwa Raya (TPR) setelah kertas siasatan lengkap sepenuhnya,” katanya ketika dihubungi Kosmo!
Terdahulu, Kosmo! melaporkan seorang kanak-kanak lelaki lima tahun maut disyaki didera ibu dan teman lelakinya di sebuah pangsapuri di Seri Kembangan, di sini, Selasa lalu.
Kanak-kanak tersebut diterima Jabatan Kecemasan Hospital Serdang dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 12.50 tengah malam.
Difahamkan, maklumat awal diterima oleh pegawai perubatan adalah mangsa dikatakan dilanggar kenderaan.
Walau bagaimanapun, hasil pemeriksaan lanjut mendapati terdapat kesan lebam dan luka lama disyaki akibat didera pada tubuh mangsa sebelum dihantar ke hospital.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A.A Anbalagan dilaporkan berkata, hasil soal siasat mendapati laporan palsu dibuat oleh teman lelaki ibunya yang berusia 29 tahun dengan menyatakan mangsa dilanggar oleh sebuah lori.
Katanya, siasatan mendapati tiada perkara sedemikian berlaku malah lori tersebut merupakan kenderaan curi di kawasan Kajang.
“Pasangan kekasih itu mengaku mendera kanak-kanak tersebut sehingga menyebabkan kematian. Motif kejadian adalah berpunca daripada tabiat yang suka mendera anak.
“Hasil bedah siasat mendapati terdapat ‘Entensive Soft Tissue Injury Due To Multiple Blunt Force Trauma’ terhadap mangsa,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE