SINGAPURA – Seorang pekerja kedai cuci kereta di Singapura ditahan selepas memandu sebuah Lamborghini milik seorang pelanggan sehingga menyebabkan kereta itu hilang kawalan, lalu merempuh empat kenderaan lain, lapor portal berita Stomp.
Dalam kejadian yang berlaku di premis Revel Studio, Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) menerima laporan mengenai kemalangan yang berlaku di Plaza WCEGA, Bukit Batok Crescent sekitar pukul 12.20 tengah hari (waktu tempatan), Selasa lalu.
Sebuah klip video yang tular di media sosial memaparkan situasi di mana Lamborghini berwarna merah jambu itu diletakkan di hadapan kawasan cuci kereta.
Sejurus pintu kanan di sebelah tempat duduk pemandu dibuka, kereta itu memecut laju secara tiba-tiba dan merempuh sebuah lori di hapannya. Tiga kenderaan yang diletakkan berhampiran lori itu turut mengalami kerosakan.
Pekerja berusia 23 tahun itu ditahan polis kerana menyebabkan kecederaan dengan perbuatan terburu-buru, manakala siasatan kes itu masih dijalankan.
Dia dilaporkan tidak memiliki lesen memandu. – Agensi