SEBERANG PERAI – Menunggang motosikal sambil berdiri sejauh lebih 1,400 kilometer di laluan tertinggi dunia yang terletak di India bukanlah satu misi mudah, namun tidak mustahil untuk direalisasikan.
Itu misi besar yang dipikul Datuk Seri P. Nadarajan, 60, bagi membuktikan kemampuan anak Malaysia sempena sambutan Hari Kebangsaan tahun ini.
Menurut Nadarajan, laluan berbahaya yang akan direntasinya dengan menunggang motosikal popular buatan India, Royal Enfield itu adalah dari Srinagar, Kashmir hingga ke Umling-La.
Katanya, misi itu bermula hari ini sehingga 1 September depan.
“Cabaran utama yang menanti adalah laluan berliku dan tidak rata serta keadaan cuaca yang memungkinkan perjalanan menjadi sedikit sukar.
“Selain itu, banyak pos tentera dan polis yang akan dilalui membuatkan saya perlu sentiasa bersedia dengan dokumentasi yang diperlukan bagi melancarkan misi solo ini.
“Saya mohon doa rakyat Malaysia agar perjalanan ini dipermudahkan,” katanya.
Terdahulu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perai, Datuk Seri S. Sundarajoo menyempurnakan gimik pelepasan konvoi berkenaan di Taman Chai Leng di sini malam kelmarin,
Nadaran sebelum ini pernah tersenarai dalam Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi beberapa pencapaian antaranya menunggang sambil berdiri dari Gelang Patah, Johor ke Bukit Kayu Hitam, Kedah sejauh 933 kilometer dalam tempoh 10 jam 45 minit yang dilakukan pada tahun 2007.
Mengulas lanjut, Nadaran berkata, bagi misi di India itu, dia telah melakukan aktiviti memanjat bukit setiap hari di Bukit Cherok Tok Kun untuk membina stamina.
“Seawal pukul 4 pagi, saya sudah bangun dan akan panjat bukit sejauh empat hingga lima kilometer tanpa gagal.
“Selain persiapan fizikal, apa yang paling penting adalah kekuatan mental kerana minda yang tajam membolehkan kita capai setiap impian,” katanya