fbpx

Lelaki dicekup tembak pikap angkara dendam cinta ditolak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Dua laras Bekakok dan dua laras senapang angin buatan sendiri yang dirampas daripada suspek.

JULAU – Seorang lelaki dicekup selepas bertindak menembak sebuah pikap, angkara perasaan dendam kerana cinta ditolak.

Ketua Polis Daerah Julau, Deputi Superintendan (DSP) Andam Sulin berkata, kejadian dilaporkan oleh seorang lelaki kira-kira pukul 10.45 malam, 23 Ogos lalu bahawa Toyota Hilux milik anaknya telah ditembak di sebelah pemandu semasa balik ke rumah di Sg. Pinang, Jalan Wak Buku Pakan, di sini.

“Pada kira-kira pukul 5.30 petang 24 Ogos lalu, sepasukan pegawai dan anggota daripada Jabatan Siasatan Jenayah (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak bersama-sama pegawai dan anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Julau telah menangkap suspek yang berusia dalam lingkungan umur 20 tahun.

“Motif suspek adalah kerana perasaan dendam terhadap keluarga mangsa kerana cintanya ditolak oleh salah seorang daripada keluarga mangsa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Selain itu, Andam berkata turut dirampas dua laras senapang patah Bekakok buatan sendiri, dua laras senapang angin buatan sendiri, sebutir peluru jenama Clever 12 Mirage dan satu kelongsong peluru jenama 12 Mirage daripada suspek.

“Rampasan dibuat dengan dipandu arah oleh suspek, yang kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Julau untuk siasatan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, permohonan reman telah dibuat di Mahkamah Sarikei dan suspek ditahan reman selama empat hari di lokap Balai Polis Julau untuk siasatan lanjut.

Katanya kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum selama 10 tahun. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI