JOHOR BAHRU – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) kini dalam proses mencari penyelesaian jangka panjang bagi mengatasi isu bekalan gula di negara ini.
Pemangku Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, kementerian sedang duduk semeja membincangkan perkara tersebut bersama beberapa kementerian berkaitan antaranya Kementerian Ekonomi, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).
“Kita tahu ada sedikit sebanyak isu gula ini yang memerlukan penyelesaian jangka panjang yang melibatkan beberapa kementerian, kita sedang duduk bersama membincangkan perkara itu.
“Baru-baru ini pun saya telah mempengerusikan beberapa mesyuarat dengan pegawai dari Kementerian Ekonomi, MITI dan KPKM untuk mencari penyelesaian jangka panjang,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir ke Program Bimbingan Usahawan & Sesi Libat Urus bersama Intermediari Korporat SSM 2023 Peringkat Negeri Johor di Hotel Holiday Villa, di sini hari ini.
Dalam masa sama, beliau berkata, KPDN giat menjalankan Ops Manis bagi memastikan pengilang dan pemborong menjalankan tanggungjawab mereka membekalkan gula putih bertapis.
“Kita kena teruskan Ops Manis untuk pastikan pengilang yang bertanggungjawab untuk membekalkan gula rakyat, bertapis putih kasar dan halus ini sebanyak 42,000 metrik tan sebulan.
“Itu tangungjawab mereka (pengilang) dan mereka perlu tunaikan, begitu juga pemborong seperti yang termaktub di bawah peraturan peraturan bekalan,” katanya.
Dalam pada itu, Armizan menegaskan peniaga tidak dibenarkan mengenakan syarat dalam pembelian gula.
Katanya, kementerian tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap peniaga yang meletakkan syarat perlu membeli satu kilogram gula putih jernih (premium) jika mahu membeli gula pasir kasar.
“Tindakan undang-undang akan diambil ke atas mana-mana pihak yang didapati mengenakan syarat berkenaan tanpa kebenaran Pengawal Bekalan dan disiasat mengikut Seksyen 19 Akta Kawalan Bekalan 1961.
“Syarat itu tidak boleh diletakkan dan kalau ada sila laporkan kepada kita kerana di bawah perintah bekalan itu peniaga tidak tidak boleh meletakkan syarat sedemikian dan kita akan ambil tindakan bersesuaian.
“Kita ada terima (aduan) dan kita dapat selesaikan aduan itu serta merta kepada mana-mana yang terlibat,” katanya. – KOSMO! ONLINE