REMBAU – Kerajaan negeri berhasrat untuk menjadikan Sungai Timun, di sini, sebagai tumpuan pemburu sepit biru atau udang galah dari seluruh negara.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, pihaknya kini dalam proses perbincangan dengan pihak berkaitan bagi menambah benih-benih sepit biru asal yang mampu memberikan saiz udang galah yang lebih besar sebagai faktor tarikan kawasan tersebut.
Menurutnya, pihak berkenaan akan membuat pembenihan menggunakan benih sepit biru di habitat tersebut untuk dilepaskan semula ke habitat berkenaan.
“Itu saya bincang untuk tambah benih-benih sepit biru. Kita tengah cuba dapatkan sepit biru yang asal untuk kita buat pembenihan supaya dapat kita lepaskan di kawasan ini.
“Sepit biru yang asal lebih besar dan kita berharap pembenihan ini dapat dilakukan dan menjadi satu tarikan yang menarik di sini,” katanya kepada pemberita ketika ditemui sempena Majlis Perasmian Cabaran Sopit Biru Sungai Timun di Jeti Pengkalan Sungai Timun, di sini, hari ini.
Sempena cabaran yang julung-julung kali diadakan berkenaan, sebanyak 70 penyertaan diterima dari seluruh negara seperti dari Perak, Selangor dan Kelantan.
Menteri Besar turut melepaskan 20,000 benih udang galah bagi meningkatkan populasi udang galah yang merupakan sumber rezeki kepada nelayan serta masyarakat setempat di lokasi tersebut.
Dalam pada itu, Aminuddin berkata, pihaknya akan memastikan habitat asal di Sungai Timun dapat dikekalkan dan tidak akan berkompromi terhadap sebarang naik taraf yang akan memberi kerugian besar kepada habitat semula jadi di lokasi tersebut.
Malah menurutnya, Sungai Timun dan Sungai Linggi mempunyai banyak tarikan semula jadi yang masih kekal di lokasi tersebut seperti orang ramai berpeluang melihat anak-anak buaya di tebing sungai dan juga tarikan kelip- kelip pada waktu malam. – KOSMO! ONLINE