fbpx

Gila talak paling optimum – Ahmad Zahid

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AHMAD ZAHID melawat projek Biogas Kilang Sawit RISDA Ulu Keratong, di Rompin, hari ini.

ROMPIN – Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan kenyataan Pengerusi Muafakat Nasional (MN), Tan Sri Annuar Musa berkaitan pertukaran sokongan pengundi Johor kepada Perikatan Nasional (PN) dalam pilihan raya kecil (PRK) negeri itu, sebagai gila talak.

Ahmad Zahid berkata, apa juga kenyataan yang dikeluarkan oleh bekas pemimpin tertinggi UMNO itu bukan lagi mewakili parti tersebut sebaliknya mewakili pihak lawan.

“Yang bercakap itu adalah bekas pemimpin UMNO yang tahap ‘kegilatalakkannya’ berada pada peringkat optimum.

“Apa yang dinyatakan bukan lagi mewakili UMNO tetapi mewakili seteru politik UMNO,” katanya dalam satu sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Projek Biogas Kilang Sawit RISDA, Ulu Keratong, di sini, hari ini.

Annuar dalam kenyataannya sebelum ini menyifatkan Johor sebagai negeri benteng terakhir UMNO, dan PRK Parlimen Pulai serta Dun Simpang Jeram bakal menguji sejauh mana parti itu dapat memberi nilai tambah kepada kerajaan Madani.

Ia berikutan UMNO dilihat gagal berbuat demikian pada Pilihan Raya Negeri (PRN), baru-baru ini.

Katanya, tidak mustahil Melayu Johor mengundi dengan bijaksana untuk menghantar isyarat kepada pemimpin UMNO luar Johor yang dilihat terus menjadi liabiliti kepada parti itu sendiri.

Annuar dilaporkan berkata, jika itu berlaku, tidak mustahil pengundi Johor akan memberi sokongan secara pukal kepada Perikatan Nasional (PN), dan ia menjadi ubat pahit terakhir untuk membaiki UMNO.

Menurut Ahmad Zahid, rasionaliti politik pengundi Johor amat berbeza yang mana mereka dikatakan telah menolak isu-isu sempit sebagaimana yang dibangkitkan pada PRN di enam negeri yang lalu seperti memainkan sentimen isu 3R (raja, agama dan kaum).

“Walaupun mereka telah mendapat sokongan dan semangat tinggi dalam PRN itu, tetapi situasi di Johor berbeza dan orang Johor tidak akan pernah dengan mudah menerima isu-isu terkait terutamanya mengenai 3R ini,”ujarnya.

Dalam pada itu, menyentuh tentang kekeliruan pengundi ketika membuang undi berikutan ketiadaan lambang dacing di dalam kertas undi, Ahmad Zahid berkata, beliau telah menggerakkan jentera di kedua-dua kawasan bagi menjelaskan isu kekeliruan terbabit. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI