MELAKA – Jabatan Kesihatan Negeri Melaka (JKNM) diarahkan untuk menyiasat sebuah restoran Pakistan dekat sini yang didakwa menghidangkan ayam goreng berulat kepada seorang pelanggan wanita.
Kejadian itu turut dikongsikan pelanggan terbabit di media sosial TikTok dan menjadi tular sejak semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Ngwe Hee Sem berkata, pihaknya telahpun meminta JKNM untuk menyiasat dakwaan tersebut yang dianggap serius dan melanggar Akta Peraturan-Peraturan Kesihatan Malaysia (PPKM) 2009.
“Saya telah meminta JKNM untuk ambil tindakan segera berhubung kejadian tersebut dan sebarang maklum balas akan dikongsikan kemudian,” katanya ringkas.
Dalam klip video tersebut, wanita terbabit yang menggunakan nama akaun @bluebirdsky menunjukkan ayam di dalam menu mi segera goreng dipesannya di sebuah restoran Pakistan di sini dipenuhi ulat dalam kejadian 21 Ogos lalu.
Menurutnya, dia hanya menyedari perkara itu selepas sempat menjamahnya sebanyak tiga sudu dan cuba melaporkan kejadian tersebut kepada JKNM melalui panggilan telefon, namun dimaklumkan talian sambungan ke Unit Pemakanan telah lama rosak.
Jelasnya, pegawai yang berurusan kemudian memaklumkan unit tersebut akan menghubunginya untuk tindakan lanjut tetapi sehingga semalam dia tidak dihubungi mana-mana pihak.
Wanita terbabit turut meluahkan rasa kesal terhadap JKNM yang didakwa tidak membantunya dalam isu serius membabitkan kesihatan rakyat. – KOSMO! ONLINE