JOHOR BAHRU – Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu akan membongkar pembohongan yang dilakukan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang di sebalik imej Islamiknya.
Mohamad berkata, sudah sampai masanya rakyat tahu perkara yang sebenar disebalik keputusan Pas meninggalkan Pakatan Rakyat, sebelum ini.
“Semalam Presiden Pas ‘tembak’ mengatakan bahawa mereka tinggalkan PR kerana parti DAP tolak Hudud. Saya takkan jawab malam ini, saya akan jawab malam esok di Simpang Jeram, Muar.
“Saya akan jawab malam esok bagaimana seorang Presiden Pas membuat pembohongan kepada rakyat jelata. Saya akan jawab satu persatu malam esok pembohongan itu.
“Aku bukan orang kecil, aku bekas Timbalan Presiden Pas. Jangan tipu rakyat di atas kopiah kamu itu, ‘no more’,” tegas Mohamad ketika berucap pada c’era ah Perpaduan Pulai di Nusa Bestari, sebentar tadi.
Terdahulu, Abdul Hadi dalam ucapannya di markas Pas Bakri semalam mendakwa tindakan segelintir ahli dan bekas pemimpin parti itu menyertai Amanah adalah kerana takut kalah dalam pilihan raya.
Beliau turut menyifatkan mereka sebagai lemah semangat sehingga sanggup meninggalkan dasar perjuangan Pas.
Mohamad Sabu yang juga Ahli Parlimen Kota Raja, mengingatkan Abdul Hadi supaya menghentikan membuat pembohongan tentang Islam terancam.
Jelasnya, parti Pas dan sekutunya sanggup menggunakan agama Islam semata-mata untuk kepentingan mereka.
“Sebagai contoh di Selangor pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lalu, semasa kempen mereka menggunakan isu sekolah agama dan tahfiz diarahkan tutup, isu itu membuatkan pengundi Melayu percaya mereka.
“Padahal arahan Sultan Selangor pada waktu itu supaya semua sekolah agama yang tak ikut peraturan dan standard piawaian mesti ditutup sebab boleh mengundang bahawa, perlu buat pembaharuan jika mahu beroperasi semula.
“Isu itu menyebabkan mereka dapat sokongan sementara, saya yakin pembohongan mereka itu tak boleh bertahan hingga empat tahun akan dtg. Rakyat akan melihat perubahan ini, saya yakin rakyat tak bodoh dan kembali sokong Kerajaan Perpaduan,” katanya. – KOSMO! ONLINE