JOHOR BAHRU – Walaupun pertama kali terjun ke gelanggang Pilihan Raya, calon Perikatan Nasional (PN), Zulkifli Jaafar, 50, tampak tidak kekok dan bersahaja ketika turun berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai.
Zulkifli yang juga anak jati di kawasan Pulai itu berkata, dia cukup masak mengenai selok-belok kawasan berkenaan tahu apa yang diperlukan penduduk setempat bagi memperbaiki taraf hidup mereka.
Usahawan kelahiran Tampoi itu berkata, beliau akan memanfaatkan tempoh berkempen itu sebaiknya dengan memfokuskan keseimbangan dan kesejahteraan rakyat di kawasan itu.
“Insya-Allah, masa berkempen dalam tempoh 14 hari ini mencukupi, ini kerana kita sudah bergerak sebelum-sebelum ini lagi. Pelbagai lapisan masyarakat telah didekati, saya rasa itu amat membantu.
“Sebagai calon, saya akan cuba menggunakan masa dari pagi sehingga malam untuk berjumpa pengundi agar mereka lebih kenal diri saya, ini supaya mereka dapat gunakan kuasa dengan tepat memilih untuk diberikan undi.
“Kita akan dengari mereka, tanya apa masalah dan kita akan fikir cara penyelesaiannya. Saya sudah biasa berjumpa orang seperti itu kadang-kadang terima panggilan tengah malam untuk minta bantuan, jadi perkara asas seperti ini perlu didahulukan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui semasa melakukan walkabout di sekitar Kempas, di sini semalam.
Zulkifli yang juga Timbalan Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Pulai itu berkata, tumpuannya lebih terarah untuk membantu masyarakat menyelesaikan isu setempat yang membelenggu kehidupan penduduk di kawasan terbabit.
Jelasnya, peranan beliau dalam PRK kali ini bukan sekadar membawa nama parti sebaliknya meneruskan legasi mentornya iaitu Menteri Besar Johor ke-16, Allahyarham Datuk Osman Sapian.
Tambahnya, beliau akan menggunakan pengalaman sebagai ahli perniagaan dalam bidang logistik dan pengangkutan untuk membantu rakyat meningkatkan taraf ekonomi menerusi perniagaan.
“Kalau kita cerita mengenai nak buat pembangunan seperti bina bangunan 10 tingkat, ia tidak masuk akal. Saya nak tumpu perkara yang jelas dan nyata, tiada guna bercakap benda yang gah tetapi benda depa mata macam tembok pecah tak boleh dibaiiki, tak guna.
“Jadi, ini yang saya ingin fokuskan perkara ini, walaupun kecil ia sedikit sebanyak membantu melancarkan hidup penduduk setempat,” katanya. – KOSMO! ONLINE