BACHOK – Kira-kira 2,000 penuntut dan kakitangan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) berjaya menghasilkan Jalur Gemilang sepanjang lebih 660 kaki atau 201 meter sempena sambutan Hari Kebangsaan tahun ini.
Naib Canselor UMK, Profesor Datuk Dr. Razli Che Razak berkata, panjang Jalur Gemilang itu membawa kepada simbolik ulang tahun kemerdekaan negara ke-66 yang bakal disambut pada 31 Ogos ini.
Menurutnya, proses menyiapkan Jalur Gemilang itu mengambil masa selama dua minggu sebelum dipamerkan kepada umum.
“Kita hasilkan Jalur Gemilang itu secara gotong-royong bermula daripada kerja-kerja melukis di atas kain putih sehingga menjahitnya menjadi bendera.
“UMK menyambut Hari Kebangsaan tahun lalu dengan mengibarkan Jalur Gemilang tertinggi menggunakan belon. Bagi tahun ini, kita lukis Jalur Gemilang terpanjang di Kelantan,” katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan sambutan Hari Kebangsaan Peringkat UMK Kampus Bachok di sini, hari ini.
Razli memberitahu, pelbagai pengisian untuk menyemarakkan sambutan kemerdekaan dijalankan pada bulan ini antaranya Konvoi Merdeka ke Universiti Malaysia Terengganu dan Universiti Malaysia Pahang selain gotong-royong mengacau bubur asyura patriotik.
Katanya, sepanjang sambutan bulan kemerdekaan, UMK mengekalkan tema tradisional dengan memaparkan kreativiti kreatif untuk menyemarakan lagi semangat patriotisme dalam kalangan warga kampus dan komuniti setempat.
“UMK turut mengadakan persembahan pantomin perjuangan Tok Janggut, formasi kibaran Jalur Gemilang menggunakan paramotor, pancaragam patriotik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan pertandingan sukan rakyat tradisional Madani,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE