fbpx

Wanita hidap fibroid ditipu kerja, dipaksa jadi scammer di Myanmar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
CIK LEE (dua dari kanan) ketika ditemui pada sidang akhbar di Kuala Lumpur hari ini. (Gambar kanan) Kesan kecederaan pada badan mangsa akibat dipukul sindiket.

KUALA LUMPUR – Seorang rakyat Malaysia dipaksa menjadi sindiket scammer di Myanmar setelah ditawarkan pekerjaan sebagai penterjemah di Filipina, Jun lalu.

Adik mangsa yang mahu dikenali Cik Lee, 42, berkata, kakaknya melancong ke China sebelum mengambil keputusan bekerja di Filipina selepas ditawarkan oleh satu ejen pekerjaan.

Anak sulung daripada tiga adik-beradik itu bertindak sedemikian kerana gaji lebih tinggi dan mengumpul wang untuk merawat penyakit fibroid yang dihidapinya.

“Saya sudah menyuruhnya pulang dan memikirkan cara lain termasuk membuat tuntutan insurans, tetapi dia tidak mahu.

“Dia dipanggil untuk temu duga di Bangkok, Thailand sebelum saya mendapat tahu kakak ditipu. Dia dihantar di kawasan terpencil di utara Myanmar untuk menyertai latihan.

“Perkara itu dikongsikan seorang rakannya melalui WhatsApp dan emel.

“Setelah berada di sana, baru dia menyedari telah ditipu. Dia juga teruk dipukul kerana enggan melakukan kerja menipu seperti diarahkan,” katanya kepada pemberita di Pejabat Biro Aduan dan Perkhidmatan Awam PKR Wilayah Persekutuan di sini, hari ini.

Tambahnya, mereka sempat berkomunikasi melalui  WhatsApp dan kali terakhir berbuat demikian pada Jun lalu.

“Kali terakhir kami berWhatsApp pada 7 Jun. Selepas itu, dia tidak pernah membalasnya.

“Pada hujung Julai, kawan kakak dari Singapura beritahu kakak ditangkap sindiket di Myanmar dan minta selamatkannya.

“Kakak ada hantar gambar kecederaannya kepada rakan dan beritahu dia dipukul jika tidak mahu buat kerja (menipu). Dia juga dilarang menghubungi keluarga. Jika sindiket dapat tahu akan teruk dipukul,” katanya.

Menurut Cik Lee, dia tidak memaklumkan perkara itu kepada ibu bapanya kerana tidak mahu mereka bimbang dan bersedih.

“Ibu bapa saya sudah berusia lanjut dan mereka belum tahu mengenai keadaan kakak. Saya bimbang mereka akan sedih. Jadi saya sangat berharap kakak dapat dibawa pulang ke Malaysia dengan selamat,” katanya.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Malaysia, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, kira-kira 20 mangsa penipuan sindiket pekerjaan dipercayai masih terperangkap di Myanmar.

“Kes ini bukan baru, sindiket dikesan mengubah modus operandi dengan membuat iklan tawaran pekerjaan di Thailand, Dubai, Filipina.

“Mereka juga bijak kerana tidak lagi menggunakan nama negara yang sensitif seperti Myanmar, Laos seperti sebelum ini. Tempat kerja yang digunakan di Thailand hanya sebagai transit sebelum dihantar ke Myanmar,” ujarnya.

Hishamuddin merayu kerajaan supaya memberi tekanan kepada Myanmar dengan menjalin kerjasama bersama Asean dan United Nations bagi menyelamatkan mangsa sindiket terbabit yang masih berada di sana. -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI