SEBERANG PERAI – Tiga pelesit rempit yang ditahan selepas melakukan aksi berbahaya ketika menunggang motosikal di Lingkaran Luar Butterworth (BORR) di Bagan Ajam di sini pagi tadi disahkan positif dadah.
Ketiga-tiga individu berusia antara 21 hingga 36 tahun itu disahkan positif dadah jenis Methamphetamine selepas ujian saringan awal air kencing dilakukan ke atas mereka ketika Op Samseng Jalanan yang diadakan dari tengah malam tadi.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Mohd Asri Shafie berkata, selain menunggang di bawah pengaruh dadah, salah seorang suspek didapati mempamerkan nombor pendaftaran palsu pada motosikal yang ditunggang.
“Ketiga-tiga suspek diserahkan ke Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Mohd Asri berkata, kes disiasat mengikut Seksyen (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 108 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Dalam pada itu, beliau berkata, sebanyak 13 motosikal disita manakala 77 saman atas pelbagai kesalahan trafik dikeluarkan dalam operasi yang bermula pukul 12 tengah malam sehingga 8 pagi itu. – KOSMO! ONLINE