JOHOR BAHRU – Sebahagian daripada pegawai dan anggota polis yang bertugas sempena Hari Penamaan Calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, Muar dekat sini telah mula melakukan persediaan.
Mereka bersama-sama petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah mula berkumpul di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, di sini seawal pukul 6 pagi.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat sebelum ini dilaporkan berkata, seramai 2,500 pegawai dan anggota ditempatkan di pusat penamaan calon PRK Pulai.
“Secara keseluruhan, seramai 3,500 pegawai dan anggota polis bertugas untuk PRK Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, hari ini,” ujarnya.
Kekosongan luar jangka kerusi Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram itu susulan pemergian penyandangnya, Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub, yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.
Pada 23 Julai lalu, Salahuddin yang juga juga Timbalan Presiden AMANAH menghembuskan nafas terakhirnya pada pukul 9.23 malam di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar, Kedah.-KOSMO! ONLINE.