JOHOR BAHRU – Calon Kerajaan Perpaduan, Suhaizan Kayat yakin percubaan kali ketujuh beliau dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai ini akan membuahkan hasil berbeza berbanding sebelum ini iaitu dengan kemenangan.
Sehubungan itu, beliau turut berterima kasih dengan sokongan diberikan pucuk kepimpinan parti-parti komponen yang mengiringi perarakan beliau di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, di sini bagi menyerahkan borang pencalonan.
“Saya lebih bersemangat dan yakin, percubaan kali ketujuh ini akan berakhir dengan kemenangan, kita akan berusaha mendapatkan kemenangan dengan majoriti menyakinkan.
“Alhamdulillah kesepakatan kukuh dalam (dengan kehadiran jemaah menteri dan kepimpinan tertinggi parti). Ini merupakan pertama kali dalam sejarah Johor, dua gabungan politik besar bekerjasama untuk berdepan PRK ini.
“Saya cukup yakin ia akan diterjemahkan dalam bentuk kertas undi pada 9 September ini,” katanya kepada pemberita selepas namanya disahkan sebagai salah seorang calon dalam PRK Parlimen Pulai.
Tambah Suhaizan, pihaknya komited untuk meneruskan legasi yang telah dilaksanakan Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub sekiranya diberikan mandat oleh pengundi kawasan tersebut.
“Selain itu, agenda lain yang turut diperlukan penduduk kawasan seperti isu perumahan, pendidikan, pekerjaan, sosial dan sebagainya akan diberikan perhatian sama.
“Cadangan-cadangan akan diberikan secara berperingkat dan berterusan,” jelasnya lanjut.
Sementara itu, Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu pula memberitahu, pihaknya akan bekerja keras untuk mendapatkan undi lebih banyak bagi memenangkan calon mereka.
“Kita mahu dapatkan undi yang banyak supaya menang kerana dalam pilihan raya memang siapa lebih undi dia yang akan menang, itu sahaja,” katanya ringkas.
Dalam PRK Parlimen Pulai itu, Suhaizan berdepan saingan daripada calon Perikatan Nasional (PN), Timbalan Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Pulai, Zulkifli Jaafar serta seorang calon bebas, Yang Dipertua Persatuan Keselamatan Pengguna Kuala Lumpur (PKPKL), Samsudin Mohamad Fauzi.-KOSMO! ONLINE.