KOTA KINABALU – Ramon Machado sekali lagi membuktikan ketajamannya apabila memacu kemenangan 3-1 Sabah ke atas Negeri Sembilan di Stadium Likas, sebentar tadi.
Pengendali Sabah, Datuk Ong Kim Swee pasti lega menyaksikan reaksi positif daripada anak buahnya dan menuntut permainan lebih konsisten bagi mengukuhkan kedudukan di carta Liga Super, sebelum memulakan kempen Piala AFC, 21 September ini.
Terdahulu, Sabah jelas pasukan yang lebih baik sepanjang babak pertama dan menyaksikan Saddil Ramdani bermaharajalela di sebelah kanan untuk melakukan gerakan ke kubu lawan.
Machado turut mencuri perhatian apabila menyumbangkan dua gol pada minit ke-13 dan 29 sebelum Miguel Cifuentes melengkapkan jaringan ketiga The Rhinos sebaik aksi memasuki masa kecederaan.
Walaupun Negeri Sembilan cuba bangkit, tuan rumah nyata berada pada momentum terbaik untuk kekal menguasai permainan dan turut dihidangkan dengan beberapa peluang keemasan.
Keputusan K. Devan memasukkan Sean Selvaraj dan Youssef Ezzejjari berjaya membangkitkan semangat melawan Negeri Sembilan dan turut menghadirkan aksi lebih berintensiti daripada kedua-dua pasukan.
Minit ke-80, perlawanan makin panas apabila berlaku pertengkaran pemain hingga mencetuskan rasa kurang senang kepada Devan.
Akhirnya, minit ke-89 menyaksikan Hein Htet Aung menyumbangkan gol saguhati buat Negeri Sembilan. – KOSMO! ONLINE