SEOUL, Korea Selatan – Sejak Korea Utara ditubuhkan pada 1948, rejim komunis bertindak menyekat kemasukan maklumat luar yang dianggap berpotensi mengancam kestabilan negara, lapor akhbar The Korea Times semalam.
Penduduk yang menyebarkan mesej menyimpang daripada prinsip totalitariannya berdepan hukuman berat di bawah undang-undang penerbitan dan garis panduan pentadbiran.
Korea Utara melaksanakan ‘undang-undang pemikiran anti-reaksioner’ pada 2020, yang menyasarkan budaya Korea Selatan khususnya K-pop.
Hampir tiga tahun selepas undang-undang itu dikuatkuasakan untuk membanteras genre K-pop dan pelbagai budaya Korea Selatan yang lain, Seoul mengeluarkan kenyataan rasmi pertama menyeru Pyongyang membatalkan ‘larangan K-pop’.
“Kami menggesa Korea Utara menghapuskan undang-undang pemikiran anti-reaksioner yang melarang rakyatnya mengakses maklumat luar,” kata Menteri Penyatuan, Kim Yung-ho pada seminar mengenai hak asasi manusia di Seoul kelmarin.
Tuntutan itu disuarakan beberapa hari selepas Yung-ho berkata, kementeriannya akan lebih lantang menyuarakan isu hak melibatkan Korea Utara seperti mengkritik dasar ‘larangan K-pop’.
Jelas Yung-ho, permintaan terbuka untuk pemansuhan undang-undang itu boleh membantu dari segi mempromosikan hak asasi manusia di peringkat antarabangsa. – AGENSI