KUALA LUMPUR – Beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik menjadi wakil tunggal Malaysia pada Kejohanan Badminton Dunia di Copenhagen, Denmark selepas melayakkan diri ke separuh akhir.
Pada aksi suku akhir yang berlangsung di Royal Arena sebentar tadi, juara bertahan itu menyingkirkan beregu No.7 dunia dari China, Liu Yu Chen-Ou Xuan Yi menerusi aksi tiga set 21-10, 15-21, 21-14.
Kemenangan itu sekali gus meletakkan Aaron-Wooi Yik selangkah sahaja lagi untuk meneruskan kemaraan ke perlawanan akhir selain sudah memastikan pingat gangsa berada dalam genggaman.
“Apa yang paling penting kepada kami hari ini adalah persiapan dari segi mental dan permainan dalam gelanggang. Sebelum ini, kami terlalu banyak fikir mengenai menang atau kalah dan ia mengganggu prestasi,” kata Aaron selepas tamat perlawanan.
Sementara itu, Wooi Yik berharap mereka dapat mengekalkan momentum menjelang perlawanan akan datang memandangkan mereka memulakan saingan dengan agak perlahan selepas bergelut di pusingan pertama.
“Satu perlawanan yang baik hari ini, jadi kami mahu kekalkan prestasi seperti ini. Kami sudah bekerja keras kerana agak bergelut di pusingan pertama, kami cuba bangkit dan banyak berkomunikasi dalam gelanggang,” ujarnya.
Untuk rekod, ini adalah kemenangan pertama Aaron-Wooi Yik ke atas gandingan tersebut selepas tiga pertemuan terdahulu pada Terbuka Indonesia 2022, Jelajah Dunia Akhir 2022 dan Terbuka Malaysia Januari lalu memihak kepada Yu Chen-Xuan Yi.
Menanti Aaron-Wooi Yik di separuh akhir nanti adalah pemenang antara beregu veteran Indonesia, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan yang akan menentang pasangan Korea Selatan, Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae. – KOSMO! ONLINE