KOTA TINGGI – “Kebiasaannya saya akan cuti untuk ambil anak di asrama tetapi semalam (kelmarin) hanya isteri.”
Itu luahan Penolong Pengurus ladang Mohamad Shahril Mohamad Aris, 44, berhubung kemalangan yang meragut nyawa isterinya di Felda Air Tawar 1, Jalan Kota Tinggi-Sungai Rengit di sini kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3.40 petang itu, mangsa, Mariani Omar, 44, yang memandu Proton Exora meninggal dunia di Hospital Kota Tinggi (HKT), manakala dua anaknya, Muhammad Fares, 18, dan Balqis, 15, cedera ringan.
Wanita itu dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Ladang Selai, Kluang selepas mengambil anaknya, Balqis di Sekolah Menengah Sains Kota Tinggi, Bandar Penawar di sini.
Mohamad Shahril berkata, dia menerima WhatsApp dengan kata-kata ‘Dah nak balik’ daripada isterinya satu jam sebelum kemalangan menyayat hati itu berlaku dan tidak menyangka itu adalah pesanan terakhir suri hatinya.
Menurutnya, isterinya keluar dari rumah mereka bersama Muhammad Fares untuk mengambil Balqis kira-kira pukul 8.30 pagi kelmarin kerana cuti sekolah sudah bermula.
“Dia (isteri) bergerak dari rumah kami di Ladang Selai, Kluang tanpa saya kerana bekerja. Biasanya saya akan ambil cuti untuk ambil anak tetapi oleh kerana Muhammad Fares boleh menemani ibunya jadi saya tidak cuti.
“Kali terakhir saya berhubung dengan isteri apabila dia memberitahu sudah nak balik dan saya berpesan supaya hati-hati kerana cuaca hujan.
“Namun tidak lama kemudian anak video call memaklumkan mereka terlibat kemalangan dan saya lihat isteri terbaring di kerusi pemandu,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Menurut bapa kepada empat anak itu, dia hanya mengetahui mengenai isterinya maut ketika tiba di Hospital Kota Tinggi kira-kira pukul 5.45 petang.
“Saya reda dengan kejadian ini, isteri tidak menunjukkan sebarang perubahan dan berkelakuan seperti biasa sebelum kejadian berlaku.
“Dalam kes ini, siapa yang salah, keadaan kereta, saya tidak fikirkan dahulu dan mahu selesaikan urusan isteri yang dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Tenggaroh 2 selepas solat Jumaat ini,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora berkata, mangsa telah mengalami kecederaan di beberapa bahagian badan akibat kemalangan dengan Perodua Alza yang dipandu seorang wanita berusia 40-an.
“Kemalangan dipercayai berlaku ketika wanita tersebut memandu kereta Proton Exora bersama dengan dua orang anak berumur antara 18 dan 15 tahun yang dalam perjalanan dari arah Bandar Penawar menghala ke Kota Tinggi.
“Kemalangan berkenaan menyebabkan pemandu Alza mengalami kecederaan parah dan masih dirawat di HKT, manakala dua anak mangsa selamat,” katanya.