fbpx

CCTV bantu tangkap pencuri rumah eksekutif kanan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KLANG – Kelicikan seorang pencuri berakhir apabila ditangkap kurang 40 jam selepas dia melakukan jenayah pecah rumah eksekutif kanan di sekitar Taman Sri Andalas di sini kelmarin.

Penahanan suspek lelaki berusia 34 tahun itu dilakukan kira-kira pukul 9 malam oleh penduduk selepas mengecam suspek.

Difahamkan, mangsa berusia 33 tahun telah berkongsi rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) mengenai aksi suspek yang memecah masuk rumahnya dalam aplikasi kumpulan WhatsApp penduduk.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang eksekutif kanan kerugian RM5,000 selepas beberapa barangan hilang akibat rumahnya dipecah masuk dalam kejadian kira-kira pukul 6.15 pagi, Rabu lalu.

Katanya, berdasarkan laporan, mangsa turut memaklumkan pintu kaca utama rumahnya di Taman Sri Andalas telah pecah dengan gril dan tingkap bahagian dapur telah terbuka.

“Polis kemudian menerima maklumat berhubung penangkapan seorang suspek yang dipercayai terlibat dalam kes itu oleh penduduk taman tersebut kira-kira pukul 9 malam kelmarin.

“Tangkapan semula dilakukan polis terhadap suspek dengan merampas beg galas berisi dompet milik anak pengadu selain sebuah telefon bimbit masing-masing jenis Vivo dan Iphone7,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Turut dirampas adalah sebuah tukul besi dan satu kopiah daripada suspek tersebut.

Hoong Fong menjelaskan, semakan mendapati suspek mempunyai 11 rekod lampau pelbagai jenayah.

Ujarnya, ini termasuk enam berkaitan pecah rumah dan dua masing-masing bagi dadah dan memiliki barang curi serta satu kes cubaan curi.

“Suspek kini direman selama tujuh hari dengan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI