JOHOR BAHRU – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meluangkan masa bertemu penduduk di Taman Cempaka, Kempas di sini dalam rangka lawatannya menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai.
Lawatan rasmi Ahli Parlimen Tambun itu merupakan kali kedua ke negeri Johor dan kali pertama ke Taman Cempaka selepas dilantik mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-10, pada 24 November tahun lalu.
Anwar sebelum itu tiba kira-kira pukul 12.35 tengah hari diiringi Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan disambut calon Pakatan Harapan (PH) Parlimen Pulai, Suhaizan Kayat.
Perdana Menteri turut meluangkan masa bermesra dan bertanya khabar dengan para pengunjung, malah tidak menolak ajakan untuk bergambar.
Seorang peniaga, Ahmad Harail Daud, 68, nyata melahirkan rasa teruja apabila terpilih untuk menyediakan juadah makan tengah hari buat rombongan Perdana Menteri itu.
“Ini merupakan kali pertama Perdana Menteri hadir berjumpa rakyat di Taman Cempaka, memang gembira, lebih-lebih lagi kami dipilih untuk menyediakan makan tengah hari buat PM kita.
“Kalau sebelum ini isteri beliau, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail pernah bertandang ke Medan Selera Taman Cempaka ketika memegang jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri pada tahun 2020,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Sementera itu, seorang penduduk, Nurul Huda Ahmad Harail, 42, berharap dengan kehadiran Perdana Menteri itu dapat memberi limpahan rahmat dan rezeki buat penduduk setempat.
Pengerusi PH itu meluangkan masa kira-kira hampir sejam sebelum menunaikan solat Jumaat di Masjid Ar-Rahman, Taman Dahlia sebelum memenuhi undangan kenduri rakyat di Dataran Taman Dahlia di sini.
Perdana Menteri turut dijadualkan menghadiri sesi dialog belanjawan bersama pemain industri negeri Johor di Kota Iskandar, Iskandar Puteri kira-kira pukul 4 petang ini.-KOSMO! ONLINE