KUALA LUMPUR – Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah menyeru seluruh rakyat Malaysia terutamanya golongan belia untuk terus berusaha, berjuang dan bekerjasama ke arah masa depan negara yang lebih cerah.
Baginda yang juga Penaung Diraja Dan Pengerusi Merdeka Award Trust bertitah, sejak 66 tahun kemerdekaan yang telah dikecapi, negara telah mengalami pelbagai transformasi merangkumi pelaburan besar dalam pembangunan infrastruktur dan modal insan dalam memacu pertumbuhan ekonomi negara.
Jelas baginda, salah satu elemen penting ialah memperkasakan belia negara untuk mengukuhkan usaha mereka untuk terus membantu semua golongan termasuk golongan muda, tua dan terpinggir dalam mengatasi halangan struktur serta sistemik yang dihadapi.
Justeru titah baginda, Geran Anugerah Merdeka untuk Penempatan Antarabangsa yang dimulakan pada 2012, memberi peluang kepada mereka yang berusia 35 tahun ke bawah untuk mencari penyelesaian dan memacu perubahan bagi menangani beberapa keperluan paling mendesak dalam negara.
“Geran ini dianugerahkan setiap tahun kepada golongan muda Malaysia yang berkelayakan tinggi bagi membolehkan mereka meneruskan projek di institusi yang diiktiraf antarabangsa, untuk membangunkan kepakaran sendiri dan mengembangkan rangkaian mereka.
“Seterusnya, ini akan meningkatkan keupayaan mereka untuk menyumbang secara positif kepada masyarakat kita. Permohonan yang dibuat merentasi beberapa bidang, iaitu pendidikan, seni, sukan, komuniti dan kerja sosial, alam sekitar, kesihatan, serta sains dan teknologi,” titah baginda ketika Majlis Pengumuman dan Penyampaian Anugerah Merdeka 2023 di sini hari ini.
Selain itu, Sultan Nazrin bertitah, geran tersebut juga membuka laluan baharu dan menarik untuk penerimanya bagi melakukan kerja di peringkat antarabangsa, antara disiplin dan antara generasi.
“Apa yang memuaskan bagi beta ketika menyampaikan geran ini adalah menjadi sebahagian daripada perjalanan berani dan berdaya usaha belia Malaysia kita. Tenaga dan semangat mereka untuk mencipta impak positif di dunia ini melalui kerja mereka memberi beta keyakinan terhadap bakat generasi Malaysia yang akan datang.
“Kita bukan saja dikurniakan dengan modal insan yang lebih kaya tetapi jelas sekali, belia kita benar-benar komited untuk membawa negara ini ke hadapan dalam apa jua cabaran yang dihadapi,” titah baginda lagi.
Usaha yang dilakukan itu telah membantu negara dalam meningkatkan taraf hidup penduduk luar bandar dan bandar, mengurangkan kemiskinan, meningkatkan tahap pendidikan, dan memastikan semua rakyat mencapai kemakmuran.
“Geran Merdeka Award telah ditubuhkan untuk memperkasakan generasi baharu pemimpin, penggerak dan pencetus perubahan. Sepanjang tempoh penempatan mereka nanti, kami percaya bahawa pengalaman dan sudut pandang yang akan mereka perolehi apabila duduk semeja dengan minda terpintar dan paling bernas di dunia akan memberi kesan perubahan positif buat masyarakat.
“Pastinya, ia akan mengangkat martabat Malaysia ke puncak lebih tinggi,” titah baginda ketika berucap pada Majlis Pengumuman dan Penyampaian Anugerah Merdeka 2023 di sini semalam.
Dalam majlis tersebut, lima individu telah dipilih sebagai Penerima Geran Merdeka Award untuk Penempatan Antarabangsa edisi ke-9 bagi tahun 2023 iaitu, Pensyarah Universiti Pengurusan dan Teknologi Tunku Abdul Rahman, Masni Mat Dong serta Syaza Soraya Sauli dari Universiti Teknologi Malaysia.
Sementara itu, tiga lagi penerima adalah Pegawai Penyelidik, Pusat Lapangan Danau Girang, Amaziasizamoria Jumail; Felow Pasca-Kedoktoran, Universiti Teknologi Nanyang, Dr. Kong Xin Ying dan Penolong Profesor, Universiti Xiamen Malaysia, Dr. Ng Chuck Chuan.
Mereka bakal memperoleh geran ini meliputi semua kos berkaitan penempatan termasuk kos belanja logistik, penginapan dan elaun. – KOSMO! ONLINE.