fbpx

Penggunaan teknologi mampu tangani masalah keterjaminan makanan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohamad Sabu merasmikan program Show-Tech Mardi 2023, di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang, Selangor. -Foto FAIZ ALIF ZUBIR/KOSMO!

SERDANG – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) telah meletakkan inovasi teknologi sebagai strategi penting ke arah menjamin bekalan makanan yang cukup untuk semua rakyat Malaysia.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, Malaysia menduduki tangga ke-39 dunia dan ke-7 di rantau Asia Pasifik berdasarkan Global Food Security Index dalam keupayaan negara memastikan sekuriti makanan terjamin.

“Justeru, Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan Negara (DSMN) 2021-2025 yang merangkumi 5 teras strategik, 15 strategi dan 96 inisiatif telah dibangunkan bagi memperkukuhkan sekuriti makanan di negara kita.

“Ia mengambil kira isu dan cabaran di sepanjang rantaian bekalan makanan bermula daripada input pertanian hingga ke sisa makanan,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Showcase Teknologi Mardi 2023, di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang, Selangor.

Katanya, Dasar Agromakanan Negara (DAN) 2.0 telah digubal sebagai usaha kerajaan menjamin sekuriti makanan dengan mendukung aspirasi dan hala tuju sektor agromakanan negara supaya lebih mampan, berdaya tahan dan berteknologi tinggi.

“Bagi meningkatkan kapasiti pengeluaran domestik, kementerian akan terus memberi penekanan yang lebih kepada penggunaan teknologi mekanisasi dan automasi, pembangunan model pertanian moden, pertanian tepat, agro robotik, aplikasi berasaskan internet of thingss (loT) dan sebagainya.

“Penggunaan teknologi baharu di dalam bidang agromakanan mampu mencerap, menganalisa dan membuat keputusan secara tepat dan pantas. la mampu melaksanakan tugasan dengan baik dan seterusnya dapat menjimatkan kos tenaga buruh dan input,” katanya.

Menurut Pengerusi Lembaga Pengelola Mardi, Azman Ismail, sektor pertanian dan industri makanan merupakan pemacu utama dalam pertumbuhan ekonomi negara.

“Manakala pemindahan teknologi pula adalah tulang belakang kepada kesinambungan dan kelestarian semua aktiviti yang berkaitan pengeluaran, pemprosesan, pengedaran, penyediaan, dan termasuklah keselamatan makanan serta pemakanan.

“Di Mardi, aktiviti pemindahan teknologi terbahagi kepada dua kaedah aitu pertama secara pemindahan teknologi gunaan awam mewakili 70 peratus daripada teknologi yang dihasilkan oleh Mardi dan yang kedua adalah secara pengkomersialan, iaitu sebanyak 30 peratus,” katanya.

Tambahnya, tema Show-Tech Mardi 2023 iaitu ‘Peneraju Inovasi Agroteknologi’ bertepatan dengan mandat Mardi untuk terus menjalankan penyelidikan dan inovasi dalam bidang pertanian.

Program yang berlangsung dari 25 hingga 27 Ogos itu diharapkan mampu menarik lebih 500,000 orang pengunjung dari pelbagai latar belakang masyarakat terutamanya petani, penternak, usahawan dan golongan belia. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI