PETALING JAYA – Mengaitkan penjualan Boustead Plantation (BPlant) kepada Kuala Lumpur Kepong (KLK) dengan pelupusan aset bumiputera disifatkan sebagai tohmahan yang tidak lebih daripada sekadar cubaan mempolitikkan urus niaga korporat dengan gaya politik purba kala, demikian menurut seorang penganalisis industri, Wan Mohd. Farid Wan Zakaria.
Beliau dalam kenyataannya berkata, penggabungan ini yang membabitkan dua syarikat terkemuka dalam bidang sawit tentunya akan berlaku penyatuan kepakaran operasi, selain kapasiti kewangan yang boleh menambah baik prestasi BPlant.
Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan & Perniagaan, Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu berkata, pastinya, pasca pandemik menyaksikan bukan sahaja Malaysia, tetapi seluruh dunia bergelut dengan kelembapan ekonomi, maka satu kaedah yang ada di atas meja adalah penggabungan dan pengambilalihan (M&A)
“Daripada segi aset pelaburan, penggabungan tersebut memberikan dimensi kepelbagaian aset pelaburan bagi memastikan dana kekal dinamik, berdaya saing dan mampan bagi kepentingan pencarum yang dalam konteks ini adalah Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Veteran.
“Ini adalah soal ekonomi. Bukan kaum sini terlepas, kaum sana mendapat. Ini zaman pasca-COVID. Hujah sedemikian sudah lapuk, purba kala.
“Ambil sedikit masa untuk meneliti butiran transaksi, maka kita akan lebih berilmu dan tahu bahawa dalam kedudukan Boustead sekarang ini, penggabungan ini adalah perlu dan munasabah,’’ jelas beliau.
Tambah Wan Mohd. Farid, cadangan KLK mengambil alih pegangan ekuiti di dalam BPlant bukannya berbentuk jualan lelong.
“ Memetik laporan Maybank IB, firma itu mengatakan dari segi nisbah pendapatan-harga (PER), harga tawaran BPlant nampaknya `adalah mahal’ dengan PER 66 kali ke hadapan (teras),” kata beliau.
Di dalam industri sawit, BPlant diketahui memiliki bank tanah terbesar di negara ini, malah penggabungan itu akan meningkatkan bank tanah mereka sehingga kira-kira 189,070 hektar.
Ia melibatkan kawasan matang baharu seluas 159,070 hektar dan belum matang seluas 30,070 hektar.
“Ini akan membantu meningkatkan penghasilan minyak sawit mentah (MSM) lebih 800,000 tan dan meningkatkan keuntungan kumpulan dan nilai pemegang saham pada masa hadapan,” kata beliau.
Dalam nota penyelidikan terbaharu, MIDF Research berkata, dengan kawasan penanaman seluas 72,207 hektar, BPlant adalah penanam tulen tempatan yang mengusahakan 42 ladang kelapa sawit dan 10 kilang di semenanjung dan Malaysia Timur.
Daripada jumlah kawasan penanaman, 60,851 hektar (84.3 peratus) terdiri daripada kawasan matang, manakala 11,356 hektar (15.7 peratus) terdiri daripada kawasan belum matang, dengan purata wajaran profil umur kira-kira 16.4 tahun.
“Sejumlah 32.3 peratus ditanam di Semenanjung; baki 53.5 peratus dan 14.2 peratus telah ditanam di Sabah dan Sarawak.
“BPlant mempunyai 10 kilang kelapa sawit dengan tiga kilang terletak di semenanjung manakala lima di Sabah dan dua di Sarawak,” katanya.
Sementara itu, menurut Maybank Investment Bank pula menjangkakan KLK dapat mengintegrasikan dan memulihkan aset BPlant yang berprestasi rendah dalam tempoh lima tahun akan datang.
Wan Mohd Farid menjelaskan, kerjasama strategik itu perlu dilaksanakan secepat mungkin untuk memaksimumkan nilai untuk LTAT supaya kedudukan kewangan Kumpulan itu kekal kukuh.
“Selaku pemilik penuh Boustead Holdings Berhad (BHB), Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) perlu melihat kepada gambaran yang lebih besar, untuk terus mencipta nilai dan mengembalikan BHB kepada kedudukan yang lebih baik dan mampu menyumbang secara mampan kepada LTAT dan pencarumnya iaitu warga ATM dan veteran. -KOSMO!ONLINE