ISKANDAR PUTERI – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu masyarakat bukan Islam di negara ini memahami kepentingan pelaksanaan Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi di sekolah-sekolah seluruh negara.
Menurut beliau, perkara itu berkait secara langsung dengan kestabilan, kesejahteraan dan keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama, khususnya buat masa depan.
Menurut beliau, pihaknya bimbang pendidikan Islam sedia ada akan menyebabkan generasi muda mudah terpengaruh kerana tidak memahami ajaran Islam sepenuhnya.
“40 hadis ulama itu sebagai asas untuk orang Islam terutama anak muda, ia penting bagi mereka kuasai dan fahami Islam, jadi jangan salah faham sebab kita bukan paksa (murid) bukan Islam.
“Keduanya, kalau ilmu setakat yang ada sekarang, jadi orang ingat tindakan maki hamun, cerca dan fitnah itu dianggap sebagai sebahagian daripada Islam. Sebab itu penyelesaian adalah mendalami ilmu Islam yang bersandar kepada Al-Quran dan kupasan ulama muktabar,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Perjumpaan Perdana Menteri Malaysia Bersama Pimpinan Kerajaan Perpaduan Negeri Johor, di sini hari ini.
Sehubungan itu, Anwar berharap isu berkenaan tidak lagi diungkit khususnya oleh wakil-wakil masyarakat bukan Islam di negara ini. -KOSMO! ONLINE