SEOUL, Korea Selatan – Pasukan seni mempertahankan diri taekwando dari China dihukum, manakala lesen jurulatihnya dibatalkan selepas mereka mempersembahkan ‘tarian zombi’ dalam satu pertandingan antarabangsa di Korea Selatan.
Portal berita South China Morning Post melaporkan, tarian itu dipersembahkan oleh ahli studio taekwando dari wilayah Guangdong semasa kejohanan Seongnam World Taekwondo Hanmadang 2023 di Korea Selatan, 24 Julai lalu.
Pada 21 Ogos lepas, Persatuan Taekwando China mengkritik persembahan itu kerana mencemarkan imej dan budaya China.
Video kejadian memaparkan tujuh ahli pasukan itu melakukan teknik taekwando sambil memakai seragam dinasti Qing (1636-1912). Mereka juga melakukan aksi zombi dalam filem seram.
Susulan kejadian itu, persatuan tersebut membatalkan keahlian pasukan itu dan melarangnya daripada menyertai pertandingan taekwondo kebangsaan.
Ia juga membatalkan lesen jurulatihnya, Liu Hao yang mencipta koreografi tarian tersebut.
Seorang netizen menyokong hukuman itu dan berkata, persembahan itu menunjukkan stereotaip Barat yang menggambarkan warga China sebagai ‘orang tua berjubah dengan tocang panjang’. – Agensi