fbpx

Maut selepas guna forklift tanpa kebenaran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota bomba sedang berusaha mengeluarkan mangsa yang dihempap forklift di Bukit Raja,kelmarin.

SHAH ALAM – Seorang pemuda yang maut dihempap jentera angkut susun (forklift) di sebuah kilang kelmarin dikatakan menggunakan jentera tersebut tanpa kebenaran.

Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Selangor berkata, perkara itu diketahui susulan siasatan awal dijalankan terhadap kejadian maut yang menimpa pekerja kilang berusia 18 tahun tersebut.

Katanya, mangsa merupakan pekerja kontrak dan baru memulakan kerja sejak dua bulan lalu sebagai operator.

“Sewaktu kejadian mangsa didapati menggunakan forklift tanpa kebenaran dengan tidak memakai tali pinggang keselamatan.

“Forklift yang dipandu mangsa telah hilang kawalan, lalu melanggar tembok tepi ramp menyebabkan forklift terbalik, dan menghempap mangsa. Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kosmo! kelmarin melaporkan seorang pekerja kilang pembungkusan maut selepas dihempap forklift dipandunya sendiri dalam kejadian di Bukit Raja,Klang di sini.

Justeru, JKKP Selangor memaklumkan pihaknya telah mengeluarkan Notis Pembaikan kepada pihak majikan bagi kawalan penggunaan forklift selain Arahan Larangan Kacau Ganggu di kawasan kemalangan.

Tambah jabatan itu, siasatan lanjut akan dijalankan bagi mengenalpasti punca-punca kemalangan dan pihak yang bertanggungjawab ke atas kemalangan tersebut.

“JKKP Selangor akan mengambil tindakan perundangan ke atas pihak yang bertanggungjawab sekiranya didapati terdapat pelanggaran di bawah peruntukan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.

“Kita memandang serius setiap kemalangan melibatkan pekerja mahupun orang awam. Majikan mempunyai kawalan penuh ke atas sebarang aktiviti di tempat kerja,” katanya.

Mengulas lanjut, JKKP Selangor menegaskan, majikan bertanggungjawab untuk mengenalpasti terlebih dahulu bahaya-bahaya di tempat kerja.

“(Ini termasuk) membuat penilaian risiko dan seterusnya mengadakan kawalan risiko yang berkesan sebelum pekerja menjalankan aktiviti kerja,” katanya. -KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI