KUALA LUMPUR – Seorang pengurus pentadbiran sebuah firma perunding pertahanan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan pecah amanah wang milik majikannya mencecah RM1.58 juta, dua tahun lalu.
Tan I-lyn, 39, membuat pengakuan tidak bersalah itu selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Datin Sabariah Othman.
Pertuduhan pertama, wanita itu selaku pengurus pentadbiran dan pembantu peribadi kepada pengarah syarikat Ada Vinci Global Sdn. Bhd., didakwa mengambil wang majikannya sebanyak RM1,518,422.88 untuk kegunaan sendiri.
Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di antara 9 Mac 2022 dan 10 Disember 2022 di syarikat berkenaan beralamat di Mont Kiara di sini.
Pertuduhan kedua, I-Lyn didakwa melakukan perbuatan serupa melibatkan wang RM58,354 walhal tertuduh diamanahkan untuk menguruskan kewangan syarikat.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di antara 3 Disember 2021 dan 23 Disember 2021 di tempat sama.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan sebatan dan denda jika sabit kesalahan.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM70,000 bagi kedua-dua tuduhan manakala pasport diserahkan sebagai syarat jaminan. Sebutan ditetapkan pada 27 September ini.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Noor Shakira Aliana Alias menawarkan jaminan berjumlah RM120,000 serta pasport diserah kepada mahkamah.
Bagaimanapun, peguam Azzuan Shah Abd. Razak berhujah jaminan itu terlalu tinggi atas alasan tertuduh yang merupakan anak tunggal perlu menanggung ibu bapa yang berusia 75 tahun.
Peguam bela berhujah, jaminan hanya untuk memastikan kehadiran tertuduh ke mahkamah manakala anak guamnya tidak pernah melarikan diri sejak akaun bank dibekukan Disember lalu.
Menurut Azzuan, tertuduh tidak dapat mengakses segala dokumen dan sumber kewangannya kerana akaun dibekukan.
“Anak guam yang juga menghidap diabetes dan darah tinggi perlu mengambil insulin, manakala ibu bapanya menetap di Pulau Pinang dan tidak dapat hadir ke mahkamah faktor usia serta kesihatan,” ujarnya.
“Rakan anak guam setuju menjadi penjamin, selain bersetuju dengan syarat pasport diserahkan kepada mahkamah,” katanya.
Noor Shakira bagaimanapun berhujah, jaminan itu adalah munasabah berdasarkan kepada jumlah kerugian yang tinggi selain tertuduh tidak membawa laporan perubatan bagi menyokong permohonan untuk mengurangkan jaminan.
Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM70,000 bagi kedua-dua tuduhan dan syarat tambahan seperti dicadangkan pendakwaan, selain menetapkan 27 September ini untuk sebutan semula kes. – KOSMO! ONLINE