“SATU kepuasan kepada saya bila dapat membantu orang yang memerlukan pertolongan kerana saya faham apa ertinya susah.”
Itu ungkapan kata yang menjadi inti pati semangat wanita berjiwa kental kelahiran Kota Bharu, Kelantan ini untuk terus membantu lebih ramai golongan memerlukan.
Menurut Wan Nor Eziatul Azlin Wan Fadri Sham, sejak lapan tahun mengasaskan perniagaan kosmetik, pelbagai asam garam pernah dilaluinya.
Berkesempatan menemu bual pengasas jenama foundation (bedak asas) yang pernah tular, Myca Cosmetics ini meski hanya menerusi panggilan telefon, aura positif wanita berusia 31 tahun itu dapat dirasakan penulis walau tak pernah bersua muka.
Nada suara dan susunan kata-katanya tenang menjawab satu per satu soalan, sesekali disulami tawa kecil di antara kami.
Namun siapa sangka, di sebalik ketenangan tersebut, Eziatul Azlin atau lebih mesra disapa Lin banyak memendam kisah duka tersendiri dalam mengasaskan perniagaan yang dimilikinya hari ini.
Lin juga amat memahami erti kesusahan hidup memandangkan dia cuma dibesarkan kedua-dua datuk dan nenek sejak dilahirkan.
Menyorot perjalanan perniagaannya, Lin memberitahu bukan mudah untuk dia mempertahankan bisnes kosmetiknya sementelah pelbagai ujian pernah ditempuhnya.
“Saya sebelum ini hanyalah suri rumah sepenuh masa dan menguruskan anak. Suami pula bekerja dalam bidang perkapalan.
“Bila jadi suri rumah, saya rasakan perlu buat sesuatu untuk jana pendapatan sendiri. Jadi, saya terfikir dan ambil keputusan untuk berniaga.
“Dari situ, saya tekad untuk pujuk suami dan meminjam duitnya sebanyak RM5,000 bagi modal permulaan perniagaan,” katanya membuka bicara kepada Aura.
Ceritanya, pada mulanya suaminya agak berat hati untuk memberinya izin berniaga, namun peluang tetap diberikan pada akhirnya.
Ujar Lin, dia memulakan bisnes dengan menjual barangan kosmetik pengeluar lain dan macam-macam produk pernah dijualnya dari rumah.
“Lebih setahun berniaga dan faham selok-belok perniagaan, dengan berbekalkan sedikit pengalaman yang ada, saya nekad keluarkan produk sendiri.
“Alhamdulillah bermula tahun 2016, saya dapat keluarkan bedak asas (foundation) sendiri jenama Myca dengan harga RM39 seunit,” katanya.
Pun begitu, meneruskan survival bisnes itu nyata bukan mudah.
“Dua tahun pertama berniaga memang betul-betul kami struggle (bergelut) untuk pastikan Myca dikenali dan dapat dijual di pasaran.
“Pada masa itu, RM39 agak tinggi bagi pengguna memandangkan bedak asas yang saya jual betul-betul jenama baharu dan belum dikenali.
“Disebabkan nak meneruskan kelangsungan ditambah dengan modal pusingan semakin susut, saya ambil keputusan untuk jual separuh daripada barangan kemas iaitu bernilai RM150,000 ketika itu,” katanya.
Beritahu Lin, keputusan nekadnya itu diambil kerana sudah menemui jalan buntu dan tiada lagi cara lain yang boleh diambil.
Selepas beberapa tahun berhempas pulas dan puas bergolok-bergadai, dia bersyukur lama-kelamaan produknya mula dikenali dan pernah tular di laman sosial sekitar 2019 kerana menjualnya pada harga tak masuk akal.
“Alhamdulillah strategi kami (syarikat) lakukan berkesan. Kami jual barangan kosmetik pada harga RM10 dengan kualiti menyamai produk berharga dua, tiga kali ganda daripada itu. Jika ditanya kenapa RM10, jawapannya satu sahaja iaitu untuk membantu lebih ramai orang memiliki produk kami pada harga murah dan berkualiti,” katanya.
Rentetan kejayaan perniagaannya itu, dia dapat membantu ramai golongan memerlukan dalam pelbagai bentuk seperti kewangan dan keperluan lain.
“Bila dapat bantu orang atau mana-mana golongan yang memerlukan, saya rasa puas walaupun mungkin ia tidak sebesar mana.
“Ini kerana, saya tahu erti dan rasa susah sebab saya juga pernah merasainya. Hidup dalam kesusahan dan penuh ujian,” tuturnya yang sejak kecil dijaga datuk dan nenek sehinggalah berumah tangga.
Ditanya golongan yang sering dibantunya, katanya, dia memfokuskan rumah anak yatim dan tahfiz di negeri kelahirannya, selain sekolah pondok.
Kata Lin, dari segi kewangan dan kelengkapan golongan itu, dia akan memastikan semuanya dapat dipenuhi kerana telah menjadi sebahagian tanggungjawab buat dirinya dan suami selaku mereka yang diberi kemampuan untuk membantu.
Tutup kemas soal suka duka bisnes, Lin sempat berkongsi kepentingan menggunakan bedak asas yang mungkin ramai tidak perasan. Katanya, pada zaman serba moden dan semuanya mahu cepat ini, kecantikan kulit wajah jangan sesekali diabaikan.
“Pakai bedak asas ini penting kerana kita mampu tampil lebih yakin apabila berdepan dengan orang ramai.
“Pada masa sama, bedak asas yang ada di pasaran terutama produk Myca Foundation juga berperanan membantu melindungi kulit daripada sinaran ultraungu sekali gus tona kulit lebih sekata,” katanya.
Hampir sedekad ‘dibantai’ ujian dan cabaran bisnes, sekali gus lebih mendewasakannya, tiada apa yang diharapkan Lin selain perniagaannya mampu bertahan.
Katanya, niatnya hanya satu, selain dapat bantu ramai wanita tampil cantik dan mampu miliki produk pada harga murah, dia juga mahu berkongsi rezeki.
“Alhamdulillah sejak Myca berada di pasaran, kita telah pun ada 2,000 ejen berdaftar dan jumlah itu naik tiga kali ganda berbanding 500 orang tahun lalu.
“Insya-Allah kita sasarkan lebih ramai wanita atau sesiapa sahaja yang ingin menjana pendapatan dan mengubah nasib dengan menyertai kami.
“Jika tiada aral melintang, syarikat juga akan hadir dengan beberapa buah tangan terbaharu kelak seperti XSlimzz Coffee, XSlimzz Choco dan XSlimzz Detox khas bagi mereka yang inginkan berat badan ideal,” katanya.
Lin menegaskan, kesusahan lampau bukanlah penghalang seseorang berjaya pada masa depan dan jangan sesekali malu dengan apa yang dilakukan selagi mana mampu memberi manfaat buat diri sendiri serta insan lain.