fbpx

Liga Super: Selangor FC ‘kenduri’ gol, benam Kelantan FC 11-2

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Penyerang Selangor FC, Richmond Yiadom melepaskan rembatan ke gawang Kelantan FC pada perlawanan saingan Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu sebentar tadi. Foto oleh KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN/KOSMO!

KOTA BHARU – Selepas tewas 0-10 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) pada aksi kedua pusingan kedua pusingan 16 Piala Malaysia minggu lalu, Kelantan FC terus menjadi pasukan belasahan apabila kalah 2-11 kepada Selangor FC dalam saingan Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini sebentar tadi.

Kekalahan itu menyaksikan Kelantan FC mencatatkan rekod bolos terburuk apabila melepaskan 87 jaringan sepanjang 21 perlawanan Liga Super musim ini.

Pada perlawanan itu, Kelantan FC terlebih dahulu membuka jaringan melalui sepakan penalti yang diambil pemain sayap, Natanael Siringo Ringo pada minit kelima.

The Red Warriors (TRW) sekali lagi membuat kejutan melalui serangan balas pantas yang membolehkan Mohamad Fazrul Amir Md. Zaman melepaskan rembatan ‘half voley’ tepat ke gawang lawan pada minit ke-13 selepas menerima hantaran Ringo.

Ketinggalan dua gol, Selangor FC bangkit dan berjaya merapatkan jurang jaringan menerusi pemain tengah, Yohandry Cujia yang melepasi barisan pertahanan tuan rumah sebelum melambungkan bola melepasi jangkauan penjaga gol Kelantan FC, Muhammad Irfan Haikal Mohd. Iffendi untuk gol pertama pelawat pada minit ke-28.

Jaringan berkenaan menyuntik semangat anak buah Tan Cheng Hoe untuk terus menggempur kubu TRW sebelum berjaya mengikat kembali kedudukan 2-2 melalui tandukan Shahrul Nazeem Zulpakar hasil sepakan penjuru pada minit ke-32.

Skuad Gergasi Merah berjaya menjaringkan gol ketiga pada minit ke-41 melalui tolakan mudah ayam tambatan mereka, Ayron Rodriguez hasil sepakan sepakan penjuru.

Empat minit kemudian, Roriguez menambah koleksi jaringan peribadinya melalui tandukan juga berpunca daripada sepakan penjuru untuk gol keempat Selangor FC.

Pasukan pelawat terus bernafsu menambah jumlah gol, namun tiada lagi gol terhasil dan kedudukan kekal 4-2 sehingga tamat separuh masa pertama.

Bermula babak kedua, Selangor FC terus mengasak kubu tuan rumah untuk meledak gol kelima melalui rembatan Richmond Yiadom pada minit ke-47.

Dua minit berselang, giliran Mohamad Faisal Abdul Halim yang kembali daripada penggantungan perlawanan selama sebulan melakukan rembatan deras untuk gol keenam Selangor FC.

Mohamad Faisal sekali lagi merobek gawang TRW apabila bola lambungannya berjaya melangkaui jangkauan Muhammad Irfan Haikal yang meluru keluar dari kawasan gol.

Rodriguez melengkapkan jaringan hatriknya apabila merembat masuk gol kelapan Selangor FC pada minit ke-62 selepas menerima hantaran Yiadom yang menggelecek tiga pemain tuan rumah.

Kealpaan barisan pertahanan TRW terus dihukum apabila Yiadom yang langsung tidak dikawal menanduk masuk gol kesembilan pelawat pada minit ke-77.

Ketika perlawanan memasuki minit ke-86, giliran Yiadom melengkapkan jaringan hatrik sebelum Rodriguez menyempurnakan jaringan keempat peribadinya sekali gus jaringan kemenangan Selangor.

Kemenangan itu menyaksikan Selangor FC naik ke tangga kedua Liga Super manakala TRW di kedudukan kedua tercorot liga. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI