KUALA LUMPUR – Beregu wanita negara, Pearly Tan-M. Thinaah dinafikan peluang ke separuh akhir pada Kejohanan Badminton Dunia di Copenhagen, Denmark selepas tewas kepada pilihan keenam dari China, Zhang Shu Xian-Zheng Yu.
Pada aksi suku akhir yang berlangsung di Royal Arena sebentar tadi, pemenang pingat emas Sukan Komanwel Birmingham 2022 itu dipaksa berhempas pulas sebelum tewas menerusi aksi tiga set 21-17, 17-21, 19-21.
Walaupun tewas, namun prestasi Pearly-Thinaah wajar diberikan pujian apabila sudah memberikan segala-galanya pada perlawanan tersebut, namun tuah lebih menyebelahi bekas gandingan No.2 dunia itu.
Untuk rekod, ini adalah kekalahan keempat Pearly-Thinaah kepada Shu Xian-Zheng Yu selepas tiga pertemuan terdahulu pada Terbuka Malaysia 2022, Jelajah Dunia Akhir 2022 serta Terbuka Australia awal bulan ini turut memihak kepada pasangan China itu.
Terdahulu, Pearly-Thinaah mengejutkan pilihan keempat dari Jepun, Mayu Matsumoto-Wakana Nagahara pada pusingan ketiga semalam apabila menang menerusi aksi straight set 21-14, 22-20 dalam tempoh 48 minit.
Menanti Shu Xian-Zheng Yu di separuh akhir esok adalah pemenang antara satu lagi beregu China, Cheng Qing Chen-Jia Yi Fan yang sedang beraksi menentang pasangan Jepun, Nami Matsuyama-Chiharu Shida.
Sementara itu, beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei turut tersingkir di suku akhir apabila tewas 11-21, 11-21 kepada gandingan No.2 dunia dari Jepun, Yuta Watanabe-Arisa Higashino. – KOSMO! ONLINE