fbpx

Kawal diabetes melalui pemakanan seimbang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

SECARA umumnya, diabetes adalah penyakit kronik yang berlaku apabila pankreas tidak dapat menghasilkan insulin mencukupi atau gagal menggunakan insulin dihasilkannya dengan baik.

Ini akan menjejaskan tubuh badan anda untuk menukar makanan kepada tenaga. Terdapat tiga jenis diabetes yang utama iaitu diabetes jenis satu, diabetes jenis dua dan Gestational Diabetes Mellitus (GDM).

Diabetes jenis satu berlaku apabila pankreas tidak berupaya menghasilkan insulin. Ini kerana sel-sel yang menghasilkan insulin telah dirosakkan oleh sistem imun tubuh sendiri.

Diabetes jenis dua pula merupakan paling banyak dikesan. Ia berlaku apabila tubuh tidak menghasilkan insulin secukupnya dan tubuh tidak dapat menggunakannya dengan berkesan. Situasi ini dipanggil kerintangan insulin.

Sementara itu, GDM merupakan keadaan di mana paras gula dalam darah yang tinggi semasa kehamilan.

Hal ini berlaku apabila insulin yang dihasilkan oleh ibu tidak mencukupi bagi mengawal gula yang beredar di dalam darah. Akibatnya, paras gula darah meningkat, maka akan menyebabkan GDM.

Faktor risiko GDM termasuk usia melebihi 25 tahun, berat berlebihan atau obes semasa kehamilan, keturunan dan sejarah melahirkan bayi bersaiz besar melebihi empat kilogram. Kebiasaannya, penyakit diabetes sering berlaku secara senyap, tanpa simptom fizikal terutamanya pada peringkat awal.

Bagaimanapun, simptom fizikal yang biasa dialami adalah dahaga keterlaluan, kerap buang air kecil, perubahan berat badan iaitu kurang atau meningkat. Selain itu, simptom lain adalah cepat letih, pandangan kabur, luka lambat sembuh, mati pucuk, jangkitan berulang dan rasa kebas mencucuk di kaki atau tangan.

Sebenarnya, terdapat pelbagai faktor meningkatkan risiko menghidap diabetes. Ada faktor risiko boleh ubah dan ada yang tidak boleh diubah.

DR. ROSNAH

Faktor risiko tidak boleh diubah termasuk mempunyai ahli keluarga yang menghidap diabetes apabila berusia 40 tahun ke atas dan mempunyai sejarah diabetes semasa mengandung.

Faktor boleh diubah pula adalah berat badan berlebihan atau obes, gaya hidup tidak aktif, tabiat pemakanan tidak sihat dan mengalami masalah kolesterol tinggi serta hipertensi.

Dalam pada itu, makanan manis menjadi antara hal yang harus dititikberatkan oleh pesakit diabetes.

Prinsip asas menyatakan bahawa makanan manis (bergula) akan meningkatkan gula darah dengan cepat berbanding makanan berkanji.

Ini memang benar seandainya makanan manis tersebut dimakan secara tunggal. Namun begitu, jika makanan manis tersebut dimakan bersama-sama hidangan seimbang tinggi serat, peningkatan gula dalam darah dapat diperlahankan.

Selain serat, ada juga faktor-faktor lain yang mempengaruhi kadar metabolisme gula. Contohnya, kaedah penyediaan sajian dan kandungan lemaknya. Jenis karbohidrat yang berbeza juga akan memberi pengaruh berbeza terhadap gula dalam darah.

Contohnya, gula dan nasi merupakan dua jenis karbohidrat yang berbeza. Tentunya, ia memberi kesan berbeza kepada peningkatan gula dalam darah.

Jumlah pengambilan gula perlu dititikberatkan oleh pesakit diabetes.

Namun begitu, pakar-pakar memberi pandangan bahawa fokus utama patut diberikan kepada jumlah keseluruhan karbohidrat yang dimakan berbanding jenisnya.

Ini kerana, jumlah karbohidrat yang dimakan mempunyai kesan lebih ketara kepada perubahan gula dalam darah.

Pengambilan makanan bergula perlu diambil kira daripada jumlah keseluruhan karbohidrat tersebut.

Kaedah yang digunakan adalah melalui tukar ganti ke dalam sajian karbohidrat sedia ada.

Melalui kaedah ini, penggunaan gula dalam amaun tertentu adalah dibenarkan dan ia tidak memberi kesan buruk kepada paras gula dalam darah. Bagaimanapun, penggunaan gula dalam kuantiti yang berlebihan adalah tidak dibenarkan.

Walaupun penghidap diabetes tidak perlu mengelakkan gula sepenuhnya, namun masih disarankan untuk mengekalkan pelan pemakanan sihat mengikut diet seimbang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI