fbpx

Kalau berhajat, tunggu tiga tahun lagi – Presiden UMNO

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Zahid berucap sempena Majlis Perasmian Belia Desa Madani @ KKDW di B5 Street Market, Tampoi Johor Bahru disini. Foto oleh RAJA JAAFAR ALI/KOSMO!

JOHOR BAHRU – Semua pihak di dalam organisasi politik termasuk UMNO perlu menghormati sistem demokrasi parti sekiranya berhasrat untuk menukar kepimpinan parti itu.

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, tidak ada gunanya mendesak kepimpinan parti bertukar sebaliknya lebih baik untuk parti mara ke hadapan dan membina dengan penuh kekuatan dari semua pihak.

“Semalam pun ada Solidariti Wanita UMNO pertahan Institusi Presiden, yang paling penting mesejnya ialah institusi kepimpinan UMNO ataupun institusi kepresidenan harus dikekalkan.

“Tetapi kalau ada yang berhajat sama ada orang dalam yang dipengaruhi oleh orang luar untuk menukar kepimpinan, maka tunggulah UMNO melakukan pemilihan semula, tiga tahun akan datang.

“Kalau kumpulan itu percaya dengan sistem demokrasi di dalam organisasi politik mereka, itu adalah kaedah yang lebih baik,” katanya pada sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Belia Desa Madani @ KKDW di B5 Street Market, Tampoi, di sini hari ini.

Sebelum ini, terdapat beberapa bekas pemimpin utama UMNO yang mendesak Ahmad Zahid meletakkan jawatan sebagai Presiden UMNO selepas gagal pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri, hanya memenangi 19 daripada 108 kerusi dipertandingkan.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu berkata, perkara paling mustahak ketika ini ialah untuk parti mara ke hadapan dan membina semula parti dengan kekuatan penuh.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk berkata, ini bukanlah masa yang tepat untuk mencari kesalahan individu lain sebaliknya bersama sederap memperkuatkan sokongan parti.

“Bila menang di PRN Melaka lebih tiga perempat, tak ada siapa pun yang suruh Presiden letak jawatan dan apabila menang di PRN Johor, menang lebih dua pertiga juga tidak ada desakan begitu.

“Malah, tidak ada pun yang memuji Presiden pada ketika itu bila kita menang 7 0 dalam Pilihan Raya Kecil (PRK), Presiden tidak dipuji dan tidak diminta letak jawatan. Dalam politik ini pasti ada turun naiknya dan ketika naik tidak ada pujian tetapi ketika turun banyak pula kejian.

“Maka, kita harus tukar minda kita tentang perkara itu supaya kita sama-sama memperkukuhkan Kesatuan dan Solidariti dalam parti kita sendiri supaya gabungan kita dihormati oleh gabungan parti lain sebagaimana yang diperlihatkan untuk rakan kita di Sarawak,” tambahnya.

Bercakap mengenai PRK di Parlimen Pulai dan Simpang Jeram, Timbalan Perdana Menteri itu berkata, peluang untuk menang adalah tinggi berdasarkan tahap kerjasama antara PH dan BN di negeri ini sangat kukuh dan kuat . – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI